“Zainab Binti Mohd Salleh Bukan Isteri Saya” – Dr Abdul Latiff

LocalPolitics
26 Aug 2022 • 9:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Abdul Latiff Ahmad - Gambar fail

KUALA LUMPUR - “Saya tidak memiliki tidak mempunyai sebarang isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab binti Mohd Salleh,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Tegas beliau, apa juga perbuatan dilakukan wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan dirinya.

“Walaupun saya telah memberikan penjelasan, Rafizi masih berterusan dengan pembohongannya. Maka dengan ini, saya membuat penjelasan yang sebenar dan sejujurnya (bahawa) saya tidak mempunyai sebarang isteri atau bekas isteri yang bernama Zainab binti Mohd Salleh.

"Apa jua perbuatan Zainab tidak mempunyai kaitan dengan saya. Saya menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 sehingga 2013, tarikh kontrak kapal tempur pesisir (LCS) kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) dibuat pada 17 Julai 2014,” katanya.

Jelas Dr Abdul Latiff, beliau tidak memainkan sebarang peranan dalam kontrak LCS tersebut, malah keluarganya juga tidak mendapat sebarang kontrak pertahanan atau pembekalan dengan Kementerian Pertahanan sepanjang menyandang jawatan Timbalan Menteri Pertahanan.

“Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli telah menggunakan satu laporan forensik oleh Alliance IFA (M) Sdn Bhd (Alliance) sedangkan dokumen tersebut hanya merupakan satu deraf yang tidak ditandatangani dan tidak dapat disahkan kandungannya.

“Rafizi bukan sahaja tidak jujur, malah didakwa dengan sengaja membuat fitnah apabila menyembunyikan fakta bahawa terdapat laporan forensik sebenar ditandatangani oleh Alliance yang secara jelas tidak menyebutkan bahawa Zainab ialah isteri kedua saya,” katanya.

image is not available
Rafizi Ramli

Abdul Latiff berkata, Rafizi diharapkan bersikap lebih jujur dalam berpolitik.

Pembohongannya jelas beliau, bukan sahaja menipu masyarakat tetapi juga menggugat keyakinan rakyat kepada pemerintah sehingga boleh menjejaskan keselamatan negara, apabila penjelasan yang perlu dibuat itu mendedahkan rahsia aset pertahanan negara kepada pengetahuan umum.

"Andai kata saudara Rafizi betul-betul yakin bahawa Zainab binti Mohd Salleh ialah isteri kedua saya, maka sila kemukakan bukti.

"Sebagai anggota Kabinet, saya bersedia untuk disiasat bagi membuktikan kebenaran apa yang saya katakan. Hentikanlah menabur fitnah," tambahnya. - Getaran, 26 Ogos 2022