
DUNIA glamor dan kerlipan lampu populariti mungkin menjadi impian ramai, namun tidak bagi pelakon versatil, Faezah Elai.
Biarpun namanya sudah cukup gah dalam industri seni tanah air, ibu kepada dua cahaya mata ini punya pendirian tegas apabila menyentuh soal masa depan anak-anaknya.
Bagi Faezah, cukuplah sekadar dia dan suami, Heykal Hanifah yang merasai asam garam sebagai anak seni.
Meneliti perkembangan zaman digital yang semakin mencabar, dia mengakui ada kebimbangan yang terbit di sudut hati.
Bukan berniat menghalang minat, namun Faezah menyifatkan landskap industri hiburan masa kini jauh berbeza dan lebih 'keras' berbanding dahulu.
Jika dahulu penulisan berita tertakluk kepada etika kewartawanan, kini segalanya di hujung jari tanpa sempadan.
"Saya tak suka (anak ceburi bidang seni). Kalau boleh, tak payahlah. Zaman sekarang ni agak kejam.
"Saya tak nak anak-anak lalui benda yang saya takutkan. Saya tak dedahkan mereka pun," ujarnya jujur.

Tambah Faezah lagi, dia melihat perbezaan ketara antara pengamal media dahulu dan warga netizen sekarang yang kadangkala bertindak melampaui batas dalam memberi kritikan.
"Zaman saya dulu yang menulis hanya reporter, mereka masih ada had.
"Sekarang ni, media (sosial) ni... mereka bercakap macam 'confirm' masuk syurga. Saya mungkin boleh layan dan hadap, tapi kalau anak-anak, tak payahlah.
"Biar mak dan bapak sahaja, mereka jangan," ujarnya lagi.
Cenderung bidang profesional
Syukurlah, anak-anaknya juga nampaknya tidak menunjukkan minat untuk mengikut jejak langkahnya di hadapan kamera. Sebaliknya, mereka lebih cenderung kepada bidang akademik dan profesional yang lebih stabil.
"Mereka pun tak ada minat ke arah itu (seni). Seorang itu kalau boleh nak jadi peguam, nak ikut jejak kakak dia.
"Jadi, biarlah mereka dengan dunia mereka sendiri," katanya lagi.
Menyentuh mengenai perkembangan kariernya yang kini jarang kelihatan di kaca televisyen, pelakon drama Setelah Terlafaznya Akad ini mempunyai alasan tersendiri.
Bukan merajuk, tetapi dia kini lebih selektif dalam memilih naskhah.
Faezah menyifatkan faktor usia dan imejnya sekarang membuatkan dia lebih berhati-hati agar setiap kemunculannya memberi impak positif kepada penonton.

"Saya rasa tak sesuai lagi bawa watak-watak negatif. Saya tak nak diportretkan begitu lagi.
"Bila dah umur-umur begini, saya nak berlakon dalam naskhah yang boleh memberi 'contribute' atau sesuatu yang positif kepada masyarakat," ungkap anak kelahiran Pulau Mutiata itu lagi.
Dalam masa sama, dia sedar dengan kehadiran ramai bakat baru yang mewarnai industri. Baginya, memberi ruang kepada wajah segar adalah lebih baik daripada memaksa diri untuk sentiasa ada sehingga menimbulkan rasa jemu di hati peminat.
"Sekarang banyak orang baru. Kalau asyik muka kita sahaja, takut orang pun menyampah. 'Asyik kau lagi'," katanya berseloroh.
