Zamani Dan Rapper Ariff Peter Berkolaborasi Bawakan Lagu Tema Filem ‘Coast Guard Malaysia: Ops Helang’

Music
30 Jan 2023 • 7:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Persembahan khas Zamani ketika majlis pelancaran lagu tema 'Yes Sir' filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang baru-baru ini. - Gambar PR

Selain skrip dan barisan pelakon yang baik, muzik ataupun lagu tema turut menjadi faktor penting dalam menentukan arus sesuatu filem itu. 

Seraya itu, Coast Guard Malaysia: Ops Helang, filem terbaru keluaran Lying Deals Sdn.Bhd dan Arie Zaharie Production memilih untuk melengkapkan filem tersebut dengan lagu tema yang bersesuaian dengan jalan cerita filem tersebut.

Lagu tema filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang berjudul ‘Yes Sir’ terbitan Cof Music menampilkan Zamani sebagai penyanyi utama dan gabungan penyanyi rap iaitu Ariff Peter yang juga merupakan penulis lirik bersama Hasril, Otromen, dan Nass.

image is not available
Majlis pelancaran lagu tema filem Coast Guard: Ops Helang, diserikan dengan gimik menarik. - Gambar PR

Menariknya, lirik lagu ‘Yes Sir’ ini diinspirasikan khusus untuk filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang memaparkan kisah kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Lagu tema tersebut membawa kisah Leftenan Maritim Hafiz seorang pegawai APMM yang terpaksa berhadapan dengan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan.

Menurut Ariff Peter, penulis lirik lagu ini, bagi memberi inspirasi dan hargai seluruh warga APMM negara ini.

image is not available
Gimik ketika majlis pelancaran lagu tema 'Yes Sir' filem Coast Guard: Ops Helang. - Gambar PR

“Saya percaya setiap lagu yang ditulis untuk filem perlu jujur dan menyampaikan isi sesebuah cerita tersebut, maka saya tulis lagu ‘Yes Sir’ bersama penulis lirik lain  untuk menghormati konsep filem itu.

“Setiap lirik dalam lagu ini, begitu tulus dan eksklusif untuk filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang ini sahaja yang membawa kisah seorang pegawai APMM,” ujar Ariff Peter.

Ariff berkata demikian ketika sidang media pelancaran lagu tema ’Yes Sir’  filem Coast Guard: Ops Helang baru-baru ini.

image is not available
Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Laksamana (M) Datuk Mohd Zubil Mat Som menerima cenderahati daripada penerbit Arie Zaharie Production, Zahari Shaari. - Gambar PR

Lagu ‘Yes Sir’ menyajikan lirik yang begitu bertepatan dengan filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang di mana Leftenan Maritim Hafiz yang mempunyai penyakit gangguan stres pascatrauma (PTSD) dilihat bangkit semula  demi menjaga keselamatan keluarga dan negaranya.

Filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang yang bakal menemui penonton di pawagam pada 2 Februari nanti, menyingkap kisah hidup seoarng pegawai APMM yang menjalankan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan dan keamanan Zon Maritim Malaysia.

Filem Coast Guard: Ops Helang terbitang Flying Deals Sdn. Bhd & Arie Zaharie Production ini mendapat kerjasama serta edaran oleh Metrowealth Pictures yang bakal menemui penonton pada 2 Februari 2023 di pawagam seluruh negara termasuk Singapura dan Brunei. – Getaran, 27 Januari 2023