
KUALA LUMPUR - Beberapa individu dipercayai peserta himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) ditahan berhampiran pusat beli belah Sogo, termasuk penyelarasnya, Zamri Vinoth dan peguam, Haniff Khatri Abdula di sini, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, yang tiba di lokasi berhampiran Sogo sekitar jam 9 malam diikuti Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam kemudian mengesahkan kepada media mengenai penahanan itu.
Difahamkan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat Shafiq Abdul Halim dan seorang individu dikenali sebagai Tamim Dahri Abdul Razak turut ditahan.
Mereka yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, untuk tindakan lanjut.
Berdasarkan pemerhatian, sekitar lokasi pusat belah Sogo dan Jalan Tunku Abdul Rahman malam tadi dikawal rapi pasukan polis berpakaian seragam dan preman.
Beberapa laluan masuk ke pusat beli belah itu turut ditutup dengan pita bagi mengawal pergerakan keluar masuk pelanggan dengan pintu masuk utama dihalang.
Setakat jam 9 malam, orang ramai yang tidak dapat dipastikan sama ada peserta himpunan atau orang awam masih berkumpul sekitar perkarangan pusat beli belah itu serta bangunan perniagaan berhampiran.
Perhimpunan itu dianjurkan GARAH dengan sokongan 141 pertubuhan bukan kerajaan.
Terdahulu, Polis Kuala Lumpur memaklumkan tidak membenarkan penganjuran himpunan GARAH di hadapan Sogo malam tadi, atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.
Fadil dilaporkan berkata keputusan itu dibuat selepas pihak polis menjalankan risikan keselamatan serta meneliti maklum balas daripada pelbagai pihak berkaitan, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.
Media sebelum ini melaporkan satu perhimpunan aman dirancang di hadapan Sogo pada jam 8 malam tadi bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah anutan haram yang didakwa semakin berleluasa. - 8 Februari, 2026
The post Zamri, Haniff antara ditahan sertai GARAH: Fadil Marsus appeared first on Scoop.
