Zamry sahkan terima surat peletakan jawatan Naib Canselor UKM

LocalPolitics
4 Feb 2025 • 2:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Zambry mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan sebagai Naib Canselor UKM beberapa hari lepas.

TANJONG MALIM - Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman beberapa hari lepas.

Zambry berkata, pihaknya menerima peletakan jawatan itu kerana Mohd Ekhwan memberikan sebab mahu menumpukan perhatian terhadap perkara lain.

"Beliau telah menjalankan tugas dengan baik, turut dihormati oleh rakan-rakan, beliau telah menjadi NC (Naib Canselor) dan telah disambung, jadi atas kapasiti itu beliau merasa telah sampai masa (meletak jawatan)," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini pada Selasa.

Terdahulu media melaporkan Mohd Ekhwan mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad.

Mohd Ekhwan kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.

Sementara itu, Zambry berkata, beliau menghormati keputusan tersebut dan memberitahu pelantikan baharu akan melalui proses biasa serta akan diumumkan kemudian.

Beliau turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas khidmat Mohd Ekhwan selama menjawat jawatan itu. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved