Zara Qairina: PM Arah Siasatan Terbuka, ‘Tiada Tempat Untuk Pembunuh!’

LocalPolitics
9 Aug 2025 • 3:19 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan agar siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir, 13 dijalankan secara menyeluruh, terbuka dan telus. 

Menurut beliau, kematian Zara Qairina tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi wujud pelbagai spekulasi dan dakwaan mengenai kejadian buli yang dialami pelajar malang itu. 

“Anak kita di Sabah meninggal dunia ada kata jatuh, ada kata tolak, ada kata sebab buli. Kita tidak pandang ringan dan kita tidak mahu ia dijadikan bahan politik.

“Saya telah arahkan agar siasatan penuh, terbuka dan telus dijalankan berhubung kematian anak kita, Zara Qairina di Sabah,” katanya. 

Anwar menyatakan demikian semasa berucap di Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kota Bharu hari ini.

Tegas Perdana Menteri, tiada tolak ansur harus diberikan kepada pelaku, walaupun jika melibatkan orang kenamaan.

“Setiap kematian mesti disiasat tanpa cubaan melindungi mana-mana pihak demi keadilan.

“Arahan kita jelas tiada tolak ansur, tidak kira anak siapa sekalipun, anak menteri atau sesiapa sahaja, saya tidak peduli," katanya. 

Menerusi ucapan sama beliau memaklumkan, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah dihubungi secara peribadi, bagi memastikan kes Zara Qairina diadili dengan sewajarnya.

“Saya tanya, apakah ada kesilapan (siasatan kes)? Kalau ada, ambil tindakan. Ini satu kematian, tidak kiralah anak orang miskin atau anak kaya, di gunung, di darat atau di laut, kita ambil tahu kerana siasatan mesti dijalankan secara telus. Saya sedih kerana ini mungkin anak atau cucu saya.

"Oleh kerana terdapat syak wasangka, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengarahkan supaya kubur digali semula untuk bedah siasat kedua,” tegasnya.

Langkah berkenaan jelas Perdana Menteri, penting untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa kebenaran tidak disembunyikan.

Anwar menarik perhatian, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar turut diarahkan ke Sabah bagi memantau sendiri siasatan.

Katanya, kerajaan tidak mahu ada persepsi kononnya wujud cubaan melindungi pihak tertentu yang terbabit dalam kejadian itu. 

"Ini kerajaan MADANI, kita tidak akan melindungi pembunuh.

“Tiada sesiapa, termasuk VIP, akan dilindungi jika bersalah. Pembunuh tetap pembunuh, dan undang-undang mesti ditegakkan demi memastikan setiap nyawa dihargai serta keadilan ditegakkan,” katanya. - Getaran, 9 Ogos 2025