Zara Qairina Tak Mungkin Terjatuh Sendiri, Ubat Antisawan Dikesan Pada Tisu Buah Pinggang – Pakar

LocalFamily & Parenting
4 Sep 2025 • 9:56 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, membuka pendedahan baharu apabila pakar patologi menegaskan arwah mustahil terjatuh secara tidak sengaja dari tingkat tiga asrama sekolahnya.

Tiada dadah dalam tubuh Zara Qairina

Menurut laporan Sinar Harian, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu, menjelaskan hasil pemeriksaan lokasi dan bedah siasat mendapati faktor ketinggian pagar konkrit serta palang besi menyukarkan kemungkinan arwah terjatuh secara tidak disengajakan.

image is not available

Foto: Harian Metro

“Ketinggian dari lantai ke palang besi mendatar paling atas pagar konkrit tingkat tiga ialah 118 sentimeter (cm). Manakala, ketinggian antemortem si mati ialah 154 cm.

“Ini bermakna palang besi melepasi tiga perempat daripada ketinggian si mati dan berada di atas pusat graviti badannya. Oleh itu, tidak logik jika arwah boleh terjatuh atau ditolak begitu sahaja ketika berdiri di tepi pagar,” katanya.

Menurut beliau, berdasarkan ukuran pagar dan kedudukan palang, adalah lebih mungkin arwah memanjat pagar serta melintasi palang besi sebelum berada di atas struktur berkenaan.

Dalam pada itu, hasil analisis toksikologi turut mengesahkan tiada dadah terlarang ditemui dalam tubuh remaja terbabit. Namun, sejenis ubat antisawan dikenali sebagai Phenytoin dikesan pada tisu buah pinggang.

image is not available

Foto: NST

“Phenytoin biasanya digunakan untuk merawat epilepsi dan juga diberi sebagai rawatan pencegahan kepada pesakit dengan kecederaan otak traumatik teruk bagi mengurangkan risiko sawan awal,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, beberapa sampel termasuk tulang, kuku, hati, buah pinggang serta calitan pada bahagian sulit diambil untuk tujuan DNA, toksikologi dan pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan terhadap alat kelamin luaran, selaput dara, saluran faraj, perineum dan dubur pula tidak menunjukkan sebarang kesan lebam, koyakan, pembengkakan atau kecederaan, malah selaput dara arwah didapati masih utuh.

image is not available

Dr Jessie, yang berkhidmat sebagai pakar patologi forensik sejak 1998, menambah laporan lengkap telah disediakan berdasarkan pemeriksaan lokasi, rekod perubatan, X-ray, imbasan CT dan CTA.

Inkues kematian Zara Qairina yang bermula minggu ini akan bersambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September serta 22 hingga 30 September di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu.

Sumber: Sinar Harian (Nurul Hidayah Hamid)