
KUALA LUMPUR - Punca kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matin disahkan akibat dijerut.
Pakar perunding perubatan forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan berkata, bedah siasat yang dilakukannya ke atas Zayn Rayyan mendapati, kanak-kanak malang itu juga mengalami pelbagai kesan kecederaan, termasuk luka di bahagian telinga yang merebak ke bahagian belakang kepala dan luka di bahagian dubur.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh telah menjalankan bedah siasat ke atas kanak-kanak berusia 6 tahun itu pada tengah hari, 7 Disember 2023.
Dr Rohayu menyatakan demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan yang turut melibatkan ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf, 30 dan Zaim Ikhwan Zahari, 30.
Pasangan suami isteri terbabit berdepan pertuduhan mengabaikan anak mereka.
Dr Rohayu, yang merupakan saksi pendakwaan ke-27, berkata, kesimpulan itu dibuat berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sungai Buloh pada tarikh berkenaan.
Prosedur berkenaan katanya, dijalankan dengan kehadiran pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohd Nasir Mustapha.
Pakar berusia 54 tahun itu berkata, mayat Zayn Rayyan mempunyai ketinggian 119cm dan berat 17.2 kilogram.
Semasa membaca kenyataan saksi, Dr Rohayu berkata tanda-tanda jerutan dapat dilihat melalui kesan lebam pada otot leher dan kelenjar tiroid.
“Otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini juga mengalami lebam.
“Jerutan pada leher, yang menyebabkan lebam pada otot leher dan kelenjar tiroid, menunjukkan ia cukup kuat untuk menghalang kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, yang menyebabkan mangsa lemas dan seterusnya meninggal dunia.
“Saya merumuskan kematian ini sebagai jerutan menggunakan alat (ligature strangulation),” katanya.
Tambah Dr Rohayu, hasil bedah siasat juga menunjukkan bukti kecederaan akibat hentakan objek tumpul dan tajam.
Beliau yang telah berkhidmat dalam bidang forensik sejak 2003 itu berkata, objek asing turut ditemui dalam salur pernafasan dan perut Zayn Rayyan.
“Lelangit mangsa yang lebam menunjukkan terdapat objek asing yang dimasukkan atau ditolak secara paksa ke dalam mulut.
“Namun, objek asing ini bukan punca kematian kerana mangsa tidak mati akibat tercekik disebabkan objek tersebut.
“Tiada kerosakan serius ditemui pada organ dalaman,” katanya.
Perbicaraan berlangsung di hadapan hakim Dr Syahliza Warnoh.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Agharie Abdul Aziz dan Nur Sabrina Zubairi.
Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris pula mewakili pasangan suami isteri tersebut.
Mayat Zayn Rayyan ditemui pada jam 10 malam di sebuah anak sungai berhampiran Apartmen Idaman, Damansara Damai, 6 Disember 2023.
Mangsa yang sebelum itu dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan terbaring. - Getaran, 8 April 2025
