Ramai Pengguna Samsung Galaxy S20 Melaporkan Masalah GPS

TechnologyDigital
19 Mar 2020 • 10:43 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Samsung Galaxy S20 adalah siri peranti mercu baharu Samsung untuk tahun ini. Ia menggunakan cip pemprosesan Exynos 990, memori sehingga 12GB RAM, skrin 120Hz, dan juga kamera 108MP. Tidak dinafikan yang siri Galaxy S20 adalah peranti yang baik, walaupun harga jualan dan pilihan storan di Malaysia sedikit mengecewakan.

Terkini, ramai pengguna Samsung Galaxy S20+ dan Galaxy S20 Ultra melaporkan ada masalah GPS pada peranti mereka. Isu ini dilihat berlaku pada Google Maps dan Waze dan mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit untuk kunci lokasi. Jika sudah berjaya mengunci aplikasi, ia masih tidak tepat dan tidak boleh digunakan kerana akan lokasi yang dikunci akan berubah-ubah pada jarak radius 1.6KM-3.2KM. Walaupun sudah membuat tentukur kompas, tukar kad SIM, tukar sambungan Internet atau juga membuang memori cache dan storan aplikasi – isu masih berterusan.

Tidak pasti sama ada isu ini berlaku pada Galaxy S20 yang dijana Snapdragon 865 atau turut berlaku pada Exynos 990. Ini kerana, S20 Ultra dan S20+ yang saya gunakan tiada isu ini. Ada pengguna katakan ia adalah kerana sokongan 5G pada setiap peranti, yang bermakna mungkin terhad kepada S20 yang dijana Snapdragon sahaja. Apa-apa pun, kita perlu nantikan kenyataan dari Samsung atau lihat sahaja kehadiran kemaskini membaiki isu ini.