liza09/09/2026 - 16:30 Ciri keselesaan bertaraf kelas pertama serta kabin berorientasikan eksekutif menjadikan Zeekr 009 sesuai untuk penumpang dan ahli perniagaan yang menggunakan SBAC Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept – Pengalaman menaiki jet peribadi di Subang SkyPark kini tampil lebih premium dengan sentuhan automotif mewah apabila Zeekr Intelligent Technology Malaysia dan SkyPark FBO Malaysia Sdn Bhd (SFBO) bekerjasama menjadikan Zeekr 009 sebagai kenderaan pemindahan penumpang VIP terus ke pesawat.
Kerjasama itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU), dengan Zeekr 009 digunakan untuk membawa penumpang dari SkyPark Business Aviation Centre (SBAC) terus ke pesawat mereka.
Sasarannya kerjasama itu ialah penumpang penerbangan kelas perniagaan dan penerbangan am termasuk pemilik jet peribadi dan penumpang penerbangan sewa khas.
Inisiatif itu turut menggabungkan mobiliti mewah dengan perkhidmatan penerbangan premium, selain memperkukuh kehadiran Zeekr Malaysia dalam persekitaran gaya hidup, hospitaliti dan perniagaan.
Menurut Zeekr Malaysia, pengenalan Zeekr 009 dalam persekitaran penerbangan perniagaan di Subang SkyPark merupakan langkah baharu bagi jenama itu dengan MPV mewah berkenaan menawarkan ruang kabin luas, suasana selesa dan ciri yang memberi tumpuan kepada penumpang untuk perjalanan eksekutif.
Zeekr 009 bawa keselesaan kelas pertama ke pesawat
Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia, Eddy Lu berkata Zeekr 009 direka untuk individu yang banyak menghabiskan masa dalam perjalanan serta mengharapkan keselesaan dan canggih.
Katanya, ciri keselesaan bertaraf kelas pertama serta kabin berorientasikan eksekutif menjadikan Zeekr 009 sesuai untuk penumpang dan ahli perniagaan yang menggunakan SBAC.

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan SFBO untuk menggabungkan dua persekitaran premium dan mewujudkan pengalaman yang lebih lancar untuk penumpang, selain menunjukkan bagaimana Zeekr 009 mewakili generasi baharu mobiliti eksekutif," katanya dalam satu kenyataan.
Zeekr 009 direka berasaskan konsep "First-Class Always", dengan pelbagai ciri yang memberi penekanan kepada keselesaan dan kemewahan.
Antaranya ialah kerusi kelas pertama Sofaro yang menggunakan kulit Nappa lembut serta dilengkapi fungsi pengudaraan dan urutan bagi memberikan keselesaan kepada penumpang.
Kabin luas itu turut dilengkapi skrin bumbung OLED 17 inci beresolusi 3K, membolehkan penumpang berehat, menikmati hiburan atau kekal berhubung sepanjang perjalanan.
Sementara itu, teknologi Intelligent Magic Carpet dan sistem suspensi udara dwi ruang (dual-chamber air suspension) Zeekr membantu memberikan perjalanan yang lebih lancar dan stabil.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan SkyPark FBO Malaysia Sdn Bhd, Hariss Abdullah berkata fokus SBAC adalah menyediakan perjalanan yang cekap, lebih peribadi dan selesa kepada penumpang penerbangan perniagaan dan penerbangan am, bermula daripada ketibaan sehingga menaiki pesawat.
Katanya, kerjasama dengan Zeekr Malaysia membolehkan pengalaman itu diperluaskan dari ruang menunggu sehingga ke pesawat, dengan Zeekr 009 menyediakan pemindahan yang lebih selesa dan premium ketika penumpang menuju ke pesawat mereka. - DagangNews.com
