
Anjing dari Turkiye, Zeynep menjadi anjing tertua di dunia pada masa ini apabila usianya sudah mencecah 23 tahun.
Zeynep merupakan anjing peliharaan jenis German Shepherd dan memiliki bulu berwarna hitam keperangan. Ia sudah berusia 23 tahun dan didakwa bakal dinobatkan sebagai anjing tertua di dunia dalam Guinness World of Records.
Jika rekod ini telah dikemaskini, Zeynep bakal menggantikan tempat penyandang sebelum ini yang menjadi miliki Gino, seekor anjing chihuahua berasal dari Los Angeles, yang berusia 22 tahun.
Dalam pada itu, makhluk comel yang berbulu hitam keperangan merupakan haiwan peliharaan seorang wanita warga emas, Zehra Oya Buldu, (75) yang berasal dari Ankara, Turkiye.
Kini, Zehra sedang menggesa pihak Guinness World of Records memberikan gelaran anjing tertua dunia itu kepada anjing peliharaannya.

Pihak Guinness World of Records memulakan penilaian terhadap Zeynep dan anjing baka German Shepherd tersebut sedang menjalani pemeriksaan ketiga untuk menentukan umur sebenarnya.
Menurut Zehra, anjing kesayangannya telah dibesarkan dalam suasana rumah yang dipenuhi dengan kanak-kanak bersama enam ekor kucing.
“Saya berasa sangat gembira dapat kelaur dan meluangkan masa bersama Zeynep, terutamanya berjalan-jalan pada waktu malam pada musim bunga dan musim panas,” katanya.
Kenali baka German Shepherd
Anjing German Shepherd Dog, atau dikenali sebagai Alsatian di Britain dan beberapa bahagian di Eropah, merupakan antara sepuluh baka anjing popular di Amerika Syarikat dan berkemungkinan salah satu baka yang terkenal di seluruh dunia.
Selain itu, antara sebab mengapa baka ini menjadi antara baka yang popular disebabkan anjing ini mampu menjalankan beberapa tugasan seperti membantu orang buta untuk berjalan, mengejar penjenayah, mengesan bahan-bahan terlarang. membantu petani untuk mengawal haiwan ternakan, menjadi bintang filem dan lain-lain lagi.
Walaupun anjing German Shepherd ini memiliki kriteria ‘serba boleh’ dan mampu menggalas beberapa peranan dalam hidup manusia, tidak semua orang dapat menyesuaikan diri dengan gaya hidup anjing ini.
Asalnya, baka ini digunakan untuk mengejar haiwan ternakan untuk pulang ke kandangnya. Maka, German Shepherd merupakan baka yang memiliki tenaga yang sangat banyak dan memerlukan banyak aktiviti dan latihan.

Tanpa perkara di atas, anjing ini akan menunjukkan kebosanan dan rasa kecewanya dengan melakukan perkara yang anda tidak gemari seperti menyalak tanpa henti dan merosakkan barangan anda.
Selain bersifat aktif, anjing ini juga memiliki naluri untuk sentiasa berjaga-jaga dan ia bagus untuk dijadikan sebagai anjing penjaga. Untuk rekod, purata jangka hayat bagi seekor anjing jenis German Shepherd dalam lingkungan 9 ke 13 tahun.
Sumber: Astro Awani & Dog Time
The post Zeynep Anjing Paling Tua Di Dunia, Usia Cecah 23 Tahun appeared first on Siakap Keli.
