
SHAH ALAM - Syarikat jenama tempatan yang kini berusaha mencipta nama dalam bidang pembaikan telefon pintar, Zfix atau Z Empire Sdn Bhd, melakar sejarah apabila berjaya mencatatkan nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
Syarikat itu mencipta rekod baharu untuk kategori ‘Penukaran Bateri iPhone Terbanyak Dalam Masa 12 Jam’ selepas berjaya menukar lebih daripada 1,000 unit bateri iPhone hanya dalam tempoh sehari.
Percubaan mencipta rekod ini berlangsung di cawangan terbaharu Zfix yang terletak di Bangunan PKNS Bizpoint, Shah Alam, semalam.
Biarpun acara dijadualkan dari jam 10 pagi hingga 10 malam, sasaran 1,000 unit bateri telah berjaya diraih sebelum jam 4 petang.
Ini kerana acara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk pengguna setia, pencinta teknologi serta komuniti tempatan yang hadir untuk menyaksikan sendiri usaha syarikat anak tempatan ini.

Cubaan mencipta rekod ini melibatkan 30 juruteknik bertauliah yang bekerja tanpa henti, dibantu 10 petugas audit dan sokongan operasi, serta lima kaunter verifikasi sah.
Setiap proses penukaran bateri dijalankan mengikut garis panduan ketat Malaysia Book of Records, yang menyaksikan nombor siri bateri lama dan baharu direkodkan dalam sistem manual serta digital, disahkan juruteknik dan penyelia teknikal, serta dirakam secara berterusan sebagai bukti rasmi.
Semua data ini kemudiannya disemak dan diserahkan kepada pihak Malaysia Book of Records bagi pengesahan rekod.
Menurut Pengarah Zfix, Muhammad Zulhelmi Mohd Yusof, kejayaan ini membawa makna yang besar kepada syarikat dan industri.
“Ini bukan sekadar soal angka, tetapi soal kepercayaan. Kami ingin buktikan bahawa servis telefon pintar boleh dijalankan secara sah, telus dan dengan integriti. Rekod ini adalah simbol komitmen Zfix terhadap inovasi serta kepuasan pelanggan.
“Jika ada yang tertanya-tanya mengapa kami memilih iPhone untuk usaha ini, jawapannya mudah. Saya berpendapat iPhone ini mudah untuk capai sasaran kerana sirinya tidaklah terlalu banyak. Kalau kami sasarkan semua jenis telefon pintar atau android, kemungkinan sasaran itu susah untuk dicapai,” jelas Zulhelmi.

Selain penukaran bateri, acara ini turut dimeriahkan dengan ‘Zfix Mobile Fest’ yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung.
Antara tarikan termasuk pemeriksaan telefon percuma, bengkel mini penjagaan peranti pintar, cabutan bertuah, photo booth interaktif serta zon kanak-kanak.
Inisiatif ini menjadikan acara bukan sahaja tentang mencipta rekod, tetapi juga tentang mendekatkan komuniti dengan dunia teknologi dalam suasana santai dan inklusif.
Dengan pencapaian tersebut, Zfix dilihat berjaya mengangkat martabat jenama tempatan, bahkan mampu menetapkan piawaian baharu dalam servis teknologi bertauliah.
Pengiktirafan Malaysia Book of Records ini diharap menjadi pemangkin kepada perkembangan industri pembaikan telefon pintar tempatan ke arah lebih profesional, selamat dan diyakini pengguna.
Ditubuhkan pada 2022, Zfix berkembang pesat sebagai penyedia servis dipercayai, khususnya bagi pengguna peranti Apple.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi reputasi syarikat yang dikenali dengan pendekatan profesional, telus dan beretika, serta membuktikan bahawa syarikat tempatan juga mampu menetapkan standard industri bertaraf antarabangsa. - Getaran, 8 September 2025



