Zizan Razak Antara 5 Juri MIFFest Ke-6

16 Jun 2023 • 10:00 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Zizan Razak telah dipilih antara lima juri Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-6 - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Pelawak dan pelakon, Mohd Razizan Abdul Razak atau lebih dikenali Zizan Razak dipilih antara lima juri Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) ke-6, yang akan berlangsung di LaLaport Bukit Bintang City Centre, di sini dari 23 hingga 29 Julai depan.

Selain Zizan yang mewakili Malaysia, empat juri lain ialah pengarah dari Singapura Eric Khoo, pengarah terkenal Jepun Ryuichi Hinoki, pelakon yang juga pengarah Vietnam Truong Ngoc Anh serta penerbit filem dan penulis skrip terkenal Hong Kong, Johnnie To selaku presiden juri.

Pengasas MIFFest Joanne Goh menyanjung perwatakan dan pengalaman Zizan serta menyifatkan Zizan sebagai serba boleh dan pelakon bertaraf dunia.

“Kami berbesar hati untuk menamakan beliau (Zizan) sebagai seorang daripada juri buat kali pertama. Para juri ini akan menilai pesaing terbaik festival filem itu dan menentukan pemenang anugerah didambakan,” katanya pada sidang media pengumuman barisan juri MIFFest ke-6 di sini hari ini.

Goh turut mengumumkan pelakon Taiwan Sylvia Chang akan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat sebagai sebahagian daripada MIFFest ke-6.

Beliau akan menerima anugerah berkenaan di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Julai.

“Dikenali dengan bakat dan dedikasinya yang luar biasa, sumbangan Sylvia Chang terhadap industri perfileman telah meninggalkan kesan mendalam, lakonannya yang tidak dapat dilupakan dan filem yang mendapat pengiktirafan yang mempesonakan penonton seluruh dunia,” katanya.

Menurut Goh, sejumlah 42 filem daripada 15 negara dipilih daripada lebih 300 penyertaan yang diterima untuk edisi kali ini.

“Tahun ini, kami berbesar hati menerima dan menayangkan lebih 300 filem. Ini jumlah yang mengagumkan yang menampilkan keadaan pawagam yang rancak dan semangat untuk pembikin filem di seluruh dunia," katanya.

Filem pembukaan 'Eraser' arahan Mark Lee See Teck, menjanjikan untuk menawan hati penonton dengan naratif yang menarik dan penuh emosi, yang juga filem lakonan terakhir pelakon dan penyanyi Allahyarham Adibah Noor.

Kategori anugerah (lima calon setiap satu) MIFFest ke-6 ialah Pengarah Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Wanita Terbaik serta Pelakon Pembantu Lelaki dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

MIFFest ke-6 juga bekerjasama dengan Bucheon International Fantastic Film Festival (BIFAN) bagi program BIFAN At MIFFest yang menayangkan filem Korea Selatan yang mendapat pengiktirafan dan mempersembahkan anugerah tahunan filem pendek BMW Shorties melibatkan 10 kategori dan 133 penyertaan. - Bernama

View Original Article