Usaha martabatkan bahasa Melayu lebih penting: Anwar

18 Aug 2019 • 8:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

SHAH ALAM - Usaha memartabatkan bahasa Melayu jauh lebih penting berbanding perdebatan mengenai penggunaan tulisan jawi, demikian kata Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan kedudukan bahasa Melayu yang penting dalam memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan.

"Ini sebagai sesuatu yang remeh (tulisan jawi) berbanding dengan usaha memperkasa dan memastikan penguasaan bahasa Melayu pada tahap terbaik untuk semua rakyat serta mutu pendidikan negara.

"Yang kedua, nak pertingkatkan penguasaan bahasa lain, itu dibolehkan kerana ia bukan 'zero one game' (hanya satu pemenang, yang lain pihak kalah)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Motivator Malaysia, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu pengajaran tulisan jawi di sekolah.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, penguasaan rakyat Malaysia dalam bahasa Melayu juga harus diberi keutamaan.

"Saya tak kata saya tak sokong (tulisan jawi) tetapi bagi saya yang utama adalah memastikan semua rakyat boleh menguasai bahasa Melayu.

"Ini tidak harus bertolak ansur, ia jelas. Masyarakat juga perlu bersikap lebih terbuka menguasai bahasa-bahasa lain dan berhubung baik dengan semua kaum di Malaysia," katanya.


View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved