Zohran Mamdani belum dapat kelulusan keselamatan persekutuan selepas lapan bulan pimpin New York

WorldPolitics
16 Sep 2026 • 7:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Zohran Mamdani belum dapat kelulusan keselamatan persekutuan selepas lapan bulan pimpin New York

HOUSTON: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani sudah memimpin bandar raya paling ramai penduduk di Amerika Syarikat (AS) selama lebih lapan setengah bulan, namun masih belum mendapat kelulusan keselamatan persekutuan, menurut laporan media.

Zohran berkata, kelewatan mendapatkan kelulusan keselamatan itu mengehadkan keupayaannya untuk menerima taklimat mengenai maklumat sulit berkaitan keganasan atau ancaman lain terhadap New York City yang mempunyai hampir 8.5 juta penduduk.

“Proses untuk mendapatkan kelulusan keselamatan persekutuan saya masih berjalan. Sebilangan pegawai kanan pentadbiran sudah mempunyai kelulusan keselamatan ketika ini.

“NYPD juga kerap memberi taklimat kepada saya mengenai siasatan risikan yang tidak melibatkan maklumat sulit persekutuan dan kami akan terus bergerak ke hadapan,” katanya

Zohran bukan Datuk Bandar New York yang pertama berdepan isu kelulusan keselamatan daripada kerajaan persekutuan.

Bekas Datuk Bandar, Bill de Blasio juga tidak diberikan kelulusan keselamatan persekutuan berperingkat tinggi dalam tempoh yang sama ketika beliau mula memimpin bandar raya itu pada 2014, menurut New York Post.

De Blasio tidak pernah memohon kelulusan berkenaan pada awal penggal pertamanya. Kerajaan persekutuan mengambil masa lebih setahun untuk meluluskan permohonannya dan kemudian memberikannya kelulusan keselamatan penuh.

Bekas Datuk Bandar New York, Eric Adams, pula kelulusan keselamatannya ditarik balik selepas beliau menjadi datuk bandar pertama yang sedang memegang jawatan untuk berdepan pertuduhan jenayah persekutuan pada 2024.

Pakar berkata, proses tapisan bagi mendapatkan kelulusan keselamatan persekutuan yang dikendalikan oleh FBI boleh mengambil masa sehingga setahun bagi seseorang yang memulakan penggal pertama dalam jawatan awam seperti Zohran.

Berita mengenai ketiadaan kelulusan keselamatan negara itu muncul ketika sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang berlangsung di New York City, dengan ramai kenamaan asing dijangka mengunjungi bandar raya itu.

Pakar berkata, kegagalan Zohran untuk menerima maklumat sulit sepenuhnya daripada kerajaan persekutuan mengehadkan ruang tindakannya sebagai datuk bandar dan berpotensi melambatkan tindak balas rasmi ketika berlaku kecemasan.-AGENSI

The post Zohran Mamdani belum dapat kelulusan keselamatan persekutuan selepas lapan bulan pimpin New York appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved