
NEW YORK: Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani membubarkan sebuah unit khas polis yang sebelum ini berdepan kritikan kumpulan pejuang kebebasan sivil berhubung penggunaan kekerasan ketika mengendalikan demonstrasi.
Unit dikenali sebagai Kumpulan Tindak Balas Strategik (SRG) itu mempunyai kira-kira 500 anggota berdasarkan rekod awam dan berfungsi sebagai pasukan tindak balas pantas di seluruh bandar bagi menangani ancaman keganasan, kekacauan awam serta situasi demonstrasi. Unit itu ditubuhkan pada 2015.
“Apa yang kami umumkan hari ini ialah pembubaran Kumpulan Tindak Balas Strategik dan pelaksanaan pendekatan baharu sepenuhnya dalam mengendalikan demonstrasi di bandar ini,” katanya kepada saluran televisyen tempatan ABC7.
Beliau berkata, selain mengasingkan tanggungjawab unit berkenaan, pihaknya turut mengutamakan pendekatan meredakan ketegangan dan mengadakan dialog.
Pesuruhjaya Polis New York, Jessica Tisch yang dikekalkan dalam jawatan sejak pentadbiran datuk bandar terdahulu, turut menyokong langkah berkenaan.
Tisch berkata, sebahagian fungsi SRG akan diserap ke dalam operasi antipengganas pasukan polis, manakala model baharu pengendalian demonstrasi akan diperkenalkan dengan membabitkan pakar meredakan ketegangan tanpa senjata.
Pada 2021, Kesatuan Kebebasan Awam Amerika (ACLU) cawangan New York menyifatkan SRG sebagai unit tindak balas pantas yang terkenal dengan tindakan ganas.
Menurut organisasi itu, SRG berulang kali mengugut, menyerang dan menahan peserta demonstrasi.
Zohran yang seorang sosialis demokratik mula memegang jawatan pada 1 Januari tahun ini.
Beliau berkempen untuk jawatan tertinggi bandar raya itu dengan berjanji memperketat kawalan terhadap tindakan polis yang sebelum ini bertindak keras terhadap demonstrasi pro-Palestin di kampus dan sekitar bandar raya itu, selain perhimpunan membantah pengusiran pendatang.
Datuk bandar itu juga sejak sekian lama menyokong perjuangan rakyat Palestin.-AFP
The post Zohran Mamdani bubar unit polis kawal rusuhan kontroversi di New York appeared first on Utusan Malaysia.


