
Datuk Bandar New York, Zohran Kwame Mamdani mengulangi pendiriannya menyokong waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, namun mengakui pentadbirannya tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk melaksanakannya.
Dalam satu kenyataan, Mamdani menyifatkan Netanyahu sebagai ‘penjenayah perang’ serta mendakwa beliau bertanggungjawab terhadap kematian puluhan ribu rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak, selain mendakwa serangan turut menyasarkan hospital neonatal, pusat penjagaan bersalin, petugas bantuan kemanusiaan dan wartawan.
Beliau turut mendakwa sekatan terhadap makanan serta bantuan kemanusiaan ke Gaza menyebabkan ramai penduduk berdepan kebuluran, sambil merujuk kepada laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi kanak-kanak Palestin dalam konflik berkenaan.
“Terdapat sebab mengapa Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadapnya. Sesiapa yang mempunyai hati nurani harus melihat kemusnahan yang berlaku dan memahami bahawa beliau perlu dihadapkan ke mahkamah,” katanya.
Baca juga:
Dari FIFA ke PBB? Trump mahu Infantino jadi Setiausaha Agung baharu
Isu warga Israel: Kongres AS tekan Washington kaji semula hubungan dengan Malaysia
Zohran Mamdani sokong waran tangkap ICC terhadap Netanyahu
Mamdani berkata, pentadbirannya telah meneliti semua saluran undang-undang bagi menentukan sama ada New York City boleh melaksanakan waran tangkap ICC sekiranya Netanyahu memasuki bandar raya itu.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan New York City tidak mempunyai kuasa undang-undang secara bebas untuk menguatkuasakan waran tersebut.
“Kerajaan persekutuan bagaimanapun mempunyai kuasa itu, dan saya menggesa mereka menyertai ICC serta melaksanakan waran ini,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan Netanyahu tidak akan ditahan sekiranya beliau melakukan lawatan ke negara itu.
Trump sebelum ini menyatakan sokongan terhadap Netanyahu dan pentadbirannya, selain menolak tindakan ICC terhadap pemimpin Israel berkenaan.
Netanyahu tidak dialu-alukan di New York City
Mamdani pula berkata Netanyahu ‘tidak dialu-alukan’ di New York City, sambil menegaskan pendirian sama terhadap mana-mana individu yang didakwa sebagai penjenayah perang.
“Walaupun kita tidak boleh menamatkan konflik ini secara bersendirian, kita boleh menentukan sama ada sikap berdiam diri kita akan menjadi satu lagi senjata,” katanya.
ICC sebelum ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu berkaitan dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dalam konflik Gaza. Israel bagaimanapun menolak dakwaan tersebut serta mempertikaikan bidang kuasa ICC dalam perkara itu.
The post Zohran Mamdani sokong waran tangkap ICC terhadap Netanyahu appeared first on The Reporter.
