
Zontes Malaysia memperkenalkan empat model skuter baharu di bawah siri 368 menerusi kempen “Geng4Ride”, iaitu Zontes 368D, Zontes 368E, Zontes 368G dan Zontes 368K.
Model-model ini ditawarkan pada harga bermula RM23,800 hingga RM28,800, dan direka untuk memenuhi pelbagai gaya tunggangan rakyat Malaysia, sama ada untuk kegunaan harian di bandar, konvoi jarak jauh atau pengembaraan ringan.
Menurut Pengurus Pemasaran Nasional Zontes Malaysia, Goi Seong Keng, konsep “Geng4Ride” diperkenalkan bagi memadankan setiap penunggang dengan skuter yang sesuai dengan gaya hidup dan cara tunggangan mereka. Pada masa sama, peningkatan kapasiti enjin kepada 368cc turut memberikan prestasi yang lebih baik berbanding siri 350 sebelum ini.
Empat Model Untuk Empat Gaya Tunggangan
Setiap model dalam siri 368 ini membawa identiti tersendiri:
- 368D – Geng Stylo
Direka untuk penunggang bandar yang mahukan gaya moden dan pengendalian lincah ketika bergerak di jalan raya yang sibuk. - 368E – Geng Convoy
Skuter touring yang memberi fokus kepada keselesaan perjalanan jarak jauh, sesuai untuk aktiviti konvoi dan perjalanan santai. - 368G – Geng Explorer
Model yang lebih versatil untuk mereka yang gemar pengembaraan dan tunggangan jarak jauh, termasuk laluan mencabar. - 368K – Geng Healing
Model baharu dalam keluarga 368 yang memberi keutamaan kepada keselesaan maksimum, sesuai untuk perjalanan santai dan touring.
Dilengkapi Teknologi Moden
Siri Zontes 368 turut dilengkapi pelbagai teknologi moden seperti traction control, ABS dua saluran, cruise control, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) bagi meningkatkan keselamatan dan kestabilan tunggangan.
Selain itu, kesemua model juga boleh dihubungkan dengan aplikasi Zontes Smart App 3.0, membolehkan penunggang memantau maklumat motosikal, sejarah perjalanan dan diagnostik sistem terus melalui telefon pintar.
Dengan pelancaran siri 368 ini, Zontes Malaysia dilihat terus mengukuhkan kedudukan mereka dalam segmen skuter premium di pasaran tempatan, sambil menawarkan pilihan yang lebih luas untuk penunggang dengan gaya hidup berbeza.
