KUANTAN- Pihak Zoo Taiping & Night Safari digesa mengambil tindakan segera bagi membawa pulang tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, gajah-gajah tersebut perlu dibawa pulang dan ditempatkan di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Temerloh yang lebih sesuai dengan habitat dan keperluan semula jadi haiwan terbabit.
Menurutnya, berdasarkan gesaan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan pelbagai pihak termasuk NGO serta rakyat, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana gajah-gajah tersebut merupakan sebahagian daripada khazanah biodiversiti negara.
"Saya mengambil maklum dan mengikuti perkembangan Dara, Amoi dan Kelat justeru dalam isu ini, sebaiknya dan tempat paling wajar bagi mereka adalah kembali ke bumi sendiri," katanya melalui kenyataan pada Rabu.
Wan Rosdy berkata, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah mempunyai kepakaran serta persekitaran yang lebih kondusif untuk pemuliharaan dan penjagaan gajah, khususnya dari segi interaksi sosial, ruang pergerakan dan kesejahteraan psikologi haiwan.
" Kita bertanggungjawab memastikan setiap khazanah negara dipelihara dengan sebaiknya," ujarnya.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menegaskan cadangan untuk mengembalikan Dara, Amoi dan Kelat wajar dipertimbangkan dengan serius oleh Zoo Taiping & Night Safari mengambil kira kepentingan awam serta sensitiviti semasa.
Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menggesa pihak pengurusan zoo untuk memulakan rundingan bagi menilai keperluan dan mekanisme untuk membawa pulang gajah-gajah tersebut ke tanah air memandangkan kedua-dua zoo berkenaan adalah pihak yang mempunyai obligasi kontraktual.
Jumaat lepas, Sinar Harian melaporkan sekumpulan badan bukan kerajaan (NGO) memberi tempoh tiga hari untuk kementerian mengeluarkan kenyataan membawa pulang tiga ekor gajah Asia yang kini ditempatkan di zoo berkenaan sejak 10 Mac lalu.
Amoi berusia sembilan tahun, Dara (14) dan Kelat (20) dipindahkan ke Zoo Tennoji sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia bertujuan untuk pembiakan dan penyelidikan.
Penghantaran itu sebahagian daripada kerjasama dua hala yang dirancang rapi sejak 2022 dan diselaraskan Perhilitan.
