Zuraida Buat Permohonan Maaf Kepada Saifuddin Nasution Berhubung Fitnah

Politics
14 Nov 2023 • 6:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Zuraida Buat Permohonan Maaf Kepada Saifuddin Nasution Berhubung Fitnah

Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin pada hari ini membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Sesyen kepada Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Memetik Sinar Harian, Zuraida, 65, telah membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim, Norakhmar Mohd Sani.

Pernyataan maaf itu dibuat berhubung kenyataan fitnahnya terhadap Saifuddin Nasution, 60, yang didakwa mengamalkan penipuan dan rasuah jutaan ringgit.

Zuraida selaku defendan dan Saifuddin selaku plaintif bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu dengan satu kenyataan maaf secara terbuka di mahkamah.

“Saya memohon maaf kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution dan menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut,” kata Zuraida yang juga Timbalan Pengerusi Muafakat Nasional (MN).

Mahkamah kemudiannya telah merekodkan penyelesaian yang dicapai antara kedua-dua pihak itu serta melapangkan tarikh perbicaraan selama tiga hari, bermula Selasa.

Semasa prosiding, Saifuddin Nasution yang diwakili Navpreet Singh telah memohon agar anak guamnya itu dikecualikan kehadirannya ketika perbicaraan berlangsung.

Menurut Navpreet, plaintif dan defendan telah mencapai penyelesaian melalui penghakiman persetujuan.

Maka mahkamah telah menetapkan hari Selasa sebagai hari untuk merekodkan terma-terma persetujuan tersebut.

“Defendan telah menarik balik kenyataan fitnah dan bersetuju untuk mengemukakan permohonan maaf secara lisan.

“Susulan itu, anak guam saya menarik balik writ saman, pernyataan tuntutan dan jawapan kepada pembelaan,” katanya.

Difahamkan, perkara itu turut disahkan oleh peguam, Nizamuddin Hamid yang mewakili Zuraida dalam perbicaraan tersebut.

Ketika ditemui di luar mahkamah oleh wartawan, Zuraida menyatakan kesyukurannya kerana kes tersebut telah selesai dengan baik.

Pada 21 Julai 2020, Saifuddin Nasution telah memfailkan saman terhadap Zuraida kerana mengeluarkan kenyataan fitnah di sebuah majlis makan malam.

Ucapan itu dibuat ketika majlis makan malam yang bertema ‘Wawasan Kemakmuran Bersama 2030’ yang berlangsung di Melaka.

Saifuddin Nasution yang merupakan Menteri Dalam Negeri itu mendakwa bahawa kenyataan fitnah yang dikeluarkan Zuraida berkaitan penipuan dan rasuah.

Zuraida mendakwa bahawa Saifuddin menerima suapan berjuta-juta ringgit untuk menyertai PAS atau PKR atau untuk memegang jawatan di sektor awam.

Menurut Saifuddin, kenyataan bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu adalah berniat jahat untuk memburukkan imej beliau.

Sumber: Sinar Harian