Zurich, Oyen perkenal produk perlindungan takaful kucing pertama di Asia

LocalBusiness & Finance
28 Nov 2023 • 12:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zurich, Oyen perkenal produk perlindungan takaful kucing pertama di Asia

zulfadli

28/11/2023 - 12:07

KUALA LUMPUR 28 Nov - Zurich Malaysia mengumumkan kerjasama sulung dengan Oyen, platform insurans haiwan peliharaan bagi memperkenalkan produk takaful kucing yang pertama, iaitu ‘Oyen Takaful Kucing’.

Tawaran inovatif itu bertujuan memenuhi peningkatan permintaan terhadap perlindungan takaful haiwan peliharaan, di samping menetapkan piawaian baharu untuk pemilik haiwan peliharaan di seluruh Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Bhd, Shamsul Azman berkata, pihaknya yakin produk itu sejajar dengan perkembangan keperluan pemilik haiwan peliharaan, dan menyokong komitmen terhadap inovasi dan rumusan yang mengutamakan pelanggan.

"Zurich berbangga menjadi sebahagian daripada kerjasama ini, dan kami berharap dapat mencetuskan impak yang bermakna dalam industri insurans dan takaful haiwan peliharaan di Malaysia," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Oyen, Kevin Hoong, pihaknya berbangga melihat pertumbuhan eksponen dalam segmen itu sejak pelancaran mereka pada 2021.

Katanya, pihaknya menyaksikan peningkatan minat pemilik haiwan peliharaan terhadap takaful sebagai pilihan perlindungan untuk diri serta keluarga mereka (termasuk haiwan peliharaan mereka).

"Melalui tawaran takaful baharu kami dengan Zurich, sebuah jenama global terkemuka, kami berharap dapat membantu lebih ramai pemilik haiwan peliharaan di Malaysia mendapatkan penjagaan veterinar berkualiti tinggi, yang setaraf dengan negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Sweden.

"Kerjasama ini melambangkan satu langkah penting dalam memberikan ketenangan fikiran dan keyakinan kepada pemilik haiwan peliharaan, sambil menghormati prinsip yang berasaskan kepercayaan mereka," katanya.

Dengan kehadiran yang dominan dalam pasaran insurans haiwan peliharaan dan rangkaian yang meliputi kira-kira 1,000 klinik dan hospital haiwan di kesemua 14 negeri di Malaysia, Oyen berada di kedudukan baik untuk memenuhi keperluan yang semakin berkembang dalam kalangan pemilik haiwan.

Malah itu, ia juga berada di landasan kukuh untuk mencapai pertumbuhan tahun ke tahun 120% yang memberangsangkan pada tahun ini.

Oyen Takaful Kucing menawarkan perlindungan komprehensif sehingga RM8,000 untuk kos rawatan haiwan yang tidak dijangka apabila kucing pelanggan jatuh sakit atau mengalami kecederaan.

Keunikan tawaran tersebut terletak pada permohonan, pemprosesan dan penjejakan tuntutan yang lancar melalui aplikasi Oyen yang dipertingkatkan dengan kecerdasan buatan (AI).

Produk yang mematuhi prinsip-prinsip syariah ini memberikan pemilik haiwan peliharaan pelan perlindungan yang selaras dengan prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai perkongsian perlindungan dan tanggungjawab bersama. - DagangNews.com