KUALA KANGSAR - Kemalangan melibatkan treler muatan batu dan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini hari ini telah menyebabkan kesesakan sejauh 6km.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.20 tengah hari itu, pemandu treler dilaporkan maut di tempat kejadian manakala seorang lelaki dan wanita merupakan pemandu dan penumpang pacuan empat roda terselamat.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Samsu Baharin Aziz berkata, enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan awal kecemasan.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati kedua-dua kenderaan terbalik dan menutup kesemua lorong laluan ke utara.
“Anggota bertindak membuat pemantauan dan mendapati seorang lelaki ditemui berhampiran longkang dipercayai tercampak keluar dari kenderaan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kita turut memberi rawatan awal kepada kedua-dua mangsa yang cedera ringan. Operasi tamat pada jam 1.50 petang,” katanya.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.
AKAN MENYUSUL

