
LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Sabah menghantar pulang seramai 1,071 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina di bawah operasi penghantaran pulang PTI pada minggu pertama Ramadan.
Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussuf dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pada 3 Mac lalu, seramai 180 pendatang tanpa izin Filipina dihantar pulang manakala 891 lagi dihantar pulang pada 6 Mac.
Beliau berkata kesemua pendatang terbabit berusia antara tiga hari hingga 82 tahun. Mereka sebelum ini ditahan di Depoh Imigresen Papar, Sandakan dan Tawau.
“Semua tahanan dipindahkan ke destinasi asal, Bongao dan Zamboanga, Filipina.
“Kanak-kanak yang terlibat dalam program ini ditemani ibu bapa atau penjaga yang sah,” katanya.
Menurut SH Sitti Saleha, seramai 1,811 pendatang tanpa izin telah dihantar pulang ke negara asal, dengan jumlah 2,273 dihantar ke negara asal sehingga hari ini.
Beliau berkata, semua pendatang tanpa izin yang terlibat dalam program ini telah menjalani hukuman masing-masing dan memiliki dokumen perjalanan sah yang dikeluarkan oleh kedutaan Filipina bagi melayakkan diri menyertai program ini.
Dalam pada itu, beliau berkata jabatan itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang didapati menyalahgunakan undang-undang dan peraturan negara.
Pendakwaan akan dikenakan ke atas majikan dan pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pasport sah, serta individu yang melanggar syarat pas atau permit seperti yang dinyatakan di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Jabatan juga menasihatkan majikan atau masyarakat untuk mengambil warga asing untuk bekerja di negara ini melalui saluran yang betul.
Jabatan akan memperhebatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PTI di negara kita.


