
SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup petrol bersubsidi di perairan Tanjung Kapur, di sini, awal pagi Rabu.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, semasa menjalankan Op Pluto Timur sekitar jam 1 pagi, anggotanya mengesan sebuah bot kargo dalam keadaan mencurigakan.
“Bertindak atas maklumat, bot BANGGI 10 digerakkan ke lokasi. Bagaimanapun, apabila menyedari kehadiran pasukan, tekong bot bertindak melarikan diri ke kawasan cetek.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Tekong bot kemudian terjun ke laut dan meloloskan diri ke kawasan paya bakau,” katanya pada Rabu.
Amir berkata, pemeriksaan terhadap bot mendapati tangki bahan apinya telah diubah suai khusus untuk tujuan penyeludupan bahan bakar ke negara jiran.
Dianggarkan 1,100 liter petrol disimpan dalam tangki berkenaan dan dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini.
Keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin sangkut dan pam elektrik dianggarkan bernilai RM155,000. Rampasan dibawa ke jeti Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, satu lagi cubaan menyeludup bahan api digagalkan di perairan Pulau Bum Bum, di sini, Selasa.
Amir berkata, Maritim Malaysia merampas empat bot dan petrol bernilai lebih RM10,000.
Katanya, hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan di kawasan tersebut, pihaknya melaksanakan Ops Pluto Timur, Ops Khas Cegah PATI (OCP) dan Ops Tiris.
“Bertindak atas maklumat, pasukan Maritim Malaysia ke lokasi dan mengesan empat bot pam tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan mencurigakan.
“Sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim, semua tekong bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan cetek, meninggalkan bot mereka,” katanya.
Pemeriksaan ke atas bot mendapati terdapat 26 jerikin mengandungi petrol. Rampasan dibawa ke jeti Kem Azumi untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
