
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan dua bot laju menyeludup barang kawalan di perairan Pulau Boheian, di sini, awal pagi Selasa.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, pasukan rondaan mengesan dua bot laju mencurigakan di kawasan panas berkenaan kira-kira jam 1.10 pagi.
“Kedua-dua bot dipintas dan 680 kilogram minyak masak dalam paket serta 2,005 liter petrol dirampas.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Empat individu warga asing berusia antara 16 hingga 38 tahun turut ditahan kerana disyaki cuba menyeleweng barang kawalan,” katanya.
Menurut Mohd Nazri, keseluruhan rampasan termasuk aset yang digunakan dianggarkan bernilai RM79,260.25 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sementara itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) turut menggagalkan cubaan sebuah bot pam menyeludup petrol di perairan Pulau Nusa.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, sebuah bot peronda agensi mengesan sebuah bot pam mencurigakan tanpa nombor pendaftaran.
“Apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan paya bakau bagi mengelak ditahan.
“Namun bot tersebut dipintas pada jam 1.40 pagi kira-kira 0.2 batu nautika selatan Pulau Nusa.
“Hasil pemeriksaan menemui 52 tong jerikin berisi petrol dan tiga enjin pam air. Barang tersebut dipercayai cuba diseludup keluar dari negara ini,” katanya sambil memaklumkan semua rampasan dibawa ke Zon Maritim Semporna untuk tindakan lanjut.
Kes turut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Dalam pada itu, Amir menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memperdagangkan barangan bersubsidi secara haram.
“Perbuatan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi menindas hak rakyat,” katanya.
Beliau berkata, usaha mengesan tekong bot masih dijalankan dan pihaknya bertekad untuk membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.
“Maritim akan terus memperkukuh rondaan dan risikan bagi memastikan perairan negara kekal selamat serta bebas daripada sebarang bentuk penyeludupan dan pencerobohan ekonomi maritim,” katanya.

