1,175 culas bayar sewa PPR, RSKN

6 Apr 2026 • 4:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Sundarajoo (kanan) mengadakan sidang media di Komtar pada Isnin.

GEORGE TOWN - Sebanyak 1,175 unit kediaman di bawah skim Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN) di Pulau Pinang dikenal pasti mempunyai tunggakan sewaan mencecah lebih RM2 juta.

Data itu sekali gus mencerminkan cabaran berterusan dalam memastikan kelestarian pengurusan perumahan mampu sewa di negeri ini.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, daripada 999 unit PPR yang disediakan, sebanyak 934 unit telah dihuni namun 268 unit daripadanya mempunyai tunggakan sewaan melibatkan jumlah RM254,633.

Menurutnya, bagi RSKN pula, daripada 1,931 unit yang disediakan sehingga 2 April lalu, sebanyak 1,591 unit telah dihuni dengan 907 unit dikenal pasti mempunyai tunggakan mencecah RM1.77 juta.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa walaupun kerajaan negeri berjaya menyediakan akses perumahan kepada rakyat, aspek disiplin pembayaran dan kelestarian pengurusan perlu diberi perhatian serius.

“Kita bukan sahaja mahu memastikan rakyat mempunyai tempat tinggal, tetapi juga memastikan sistem ini kekal mampan untuk generasi akan datang,” katanya dalam sidang media di Komtar pada Isnin.

Beliau berkata, kerajaan negeri kekal komited menyediakan perumahan mampu milik yang inklusif, berkualiti dan selesa khususnya kepada golongan B40, M40, belia, keluarga muda serta warga emas.

Katanya, pendekatan fleksibel melalui pelbagai kategori seperti jual beli, sewa beli dan sewaan membolehkan rakyat memilih skim yang bersesuaian dengan kemampuan kewangan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kadar sewaan bagi unit PPR ditetapkan pada RM124 sebulan termasuk kos penyelenggaraan dengan tempoh penyewaan selama tiga tahun, tertakluk kepada lanjutan berdasarkan kelayakan penyewa.

“PPR merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menyediakan kediaman sementara kepada golongan berpendapatan rendah, manakala pengurusannya dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP),” katanya.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri turut melaksanakan proses pemutihan data penyewa bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak terus menikmati kemudahan tersebut.

“Langkah ini penting bagi memberi peluang kepada pemohon dalam senarai menunggu, memastikan keadilan dalam agihan unit serta mengekalkan integriti sistem perumahan negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, syarat permohonan turut diperketatkan termasuk had pendapatan isi rumah tidak melebihi RM1,500 serta tidak memiliki hartanah, selain pelaksanaan sistem permohonan secara dalam talian sejak Ogos 2023 bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan.

Beliau turut menegaskan bahawa unit PPR adalah untuk sewaan sementara sahaja dan tidak boleh disewakan kepada pihak ketiga.

“Sebarang pelanggaran syarat boleh menyebabkan unit ditarik balik untuk diberikan kepada pemohon lain yang lebih layak,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, terdapat empat skim PPR di Pulau Pinang iaitu di Taman Manggis, Taman Bagan Jaya, Mak Mandin dan Permatang Tok Suboh yang terus mencatat kadar penghunian tinggi.

“Kerajaan negeri melalui LPNPP akan terus memastikan kedua-dua skim ini dilaksanakan secara telus, adil dan berkesan sebagai platform penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau menambah, lebih 30 peratus penyewa unit PPR dan RSKN di Pulau Pinang dipercayai telah kehilangan kelayakan, khususnya melibatkan mereka yang telah mendiami unit melebihi tempoh ditetapkan.

Menurutnya, kerajaan negeri kini giat melaksanakan pemantauan lapangan bagi meneliti status sebenar penyewa terlibat termasuk mengesahkan tahap pendapatan semasa mereka.

“Bagi kategori sedia ada dan yang telah kehilangan kelayakan, saya anggarkan lebih 30 hingga 40 peratus. Kita akan turun padang untuk teliti perkara ini.

“Terutama bagi penyewa yang telah duduk lebih lima tahun, besar kemungkinan mereka sudah tidak layak kerana tidak logik pendapatan kekal RM1,500 dalam tempoh itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada penyewa yang telah mendiami unit melebihi tiga tahun selaras dengan tempoh maksimum sewaan yang ditetapkan.

Katanya, bagi penyewa dalam tempoh kurang tiga tahun, pihaknya telah membuat penelitian awal termasuk semakan pendapatan sebelum kelulusan diberikan.

“Saya ingin jelaskan, unit-unit yang diluluskan sepanjang tempoh saya sebagai Exco Perumahan masih belum mencapai tempoh matang tiga tahun.

“Ini kerana tempoh saya memegang portfolio ini baru sekitar dua tahun setengah, jadi kita masih belum sampai ke fasa semakan semula bagi kumpulan tersebut,” katanya.