
SEREMBAN: Masa depan lebih 1.2 juta penduduk Negeri Sembilan dan hampir 6,000 kakitangan awam di negeri ini menjadi tumpuan kerajaan negeri menjelang pembentangan Belanjawan 2027 yang dijadualkan pada hujung bulan depan.
Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim berkata, beliau bersama pasukan pentadbiran kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk merancang belanjawan yang perlu meliputi setiap lapisan masyarakat negeri ini.
Katanya, masa yang ada digunakan oleh beliau untuk mengadakan mesyuarat, pertemuan dengan pihak berkepentingan dan meneliti pelbagai input yang akan digunakan bagi menjayakan belanjawan berkenaan.
“Kerajaan negeri mahu 1.2 juta penduduk dan hampir 6,000 kakitangan awam negeri mendapat nikmat dan manfaat terbaik dalam belanjawan ini.
“Kerajaan negeri akan menyalurkan jumlah yang cukup bagi menjayakan Belanjawan 2027,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Ismail memberikan reaksi itu ketika ditanya isu peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Terdahulu, sebuah akhbar berbahasa cina melaporkan Ismail sudah menandatangani surat peletakan jawatan.
“Laporan akhbar itu tidak benar. Saya tidak meletak jawatan. Saya sedang memberi tumpuan penuh merancang Belanjawan 2027,” tegasnya.
Beliau enggan mengulas lanjut mengenainya apabila didesak.
“Saya tidak boleh cuai dan dilalaikan dengan perkara lain. Rakyat negeri ini mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan yang memerintah.
“Kecewa bukan pilihan untuk rakyat. Saya mesti kekal fokus walaupun berdepan dengan apa jua cabaran dan halangan,” katanya. – UTUSAN
The post 1.2 juta penduduk, 6,000 kakitangan kerajaan jadi tumpuan Ismail Lasim appeared first on Utusan Malaysia.





