
SHAH ALAM, 23 OKT: KDEB Waste Management (KDEBWM) merancang memulakan pembinaan loji jana kuasa tenaga daripada sisa (WTE) baharu di kawasan berhampiran Rawang tahun depan selepas mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.
Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata tapak projek telah dikenal pasti dan semua keperluan termasuk kajian terperinci selesai dilaksanakan, dengan pengumuman rasmi dijangka dibuat awal tahun depan.
“Insyallah, kita memang dalam perancangan buat satu di sebelah utara Selangor iaitu di Rawang…kita akan buat pengumuman awal tahun depan.
“Tapak semua dah ada dan telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri. Kita pun telah buat semua, requirement untuk projek tersebut, kajian dan sebagainya. Kita hanya menunggu masa sesuai untuk buat pengumuman pada awal tahun depan,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut beliau, dengan adanya loji jana kuasa pelupusan sampah akan lebih sistematik, tidak perlu mengorek tanah sekali gus menambah kawasan pembuangan sisa.
Ramli Mohd Tahir

“Pengoperasian sekarang adalah perlu bawa ke kawasan dibenarkan Kerajaan Negeri iaitu Bukit Tagar, Tanjung 12 dan di Jeram yang juga ada WTE. Dengan adanya penambahan WTE, ia memudahkan kerja dan mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada tanah untuk digazettkan sebagai tapak pelupusan sampah.
“Ini adalah satu pembangunan yang bagus kerana kita telah berjaya mengorak langkah ke arah pelupusan yang lebih bijak, bersih dan kemas selain memikirkan masa terpanjang alam sekitar, tidak merosakkan tanah,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya WTE itu ia mampu menghasilkan tenaga hijau dan bersih untuk dipulangkan semula kepada pengguna kelak.
Sebelum ini, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menyarankan Kerajaan Negeri memberi lebih tumpuan terhadap penerokaan teknologi WTE sebagai pendekatan moden dan mampan bagi menangani isu pengurusan sisa di Selangor.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan pandangan itu selepas berkenan melawat Amager Bakke atau CopenHill, sebuah loji jana kuasa haba dan elektrik berasaskan sisa di Copenhagen, Denmark baru-baru ini.
Selangor sebelum ini mencipta sejarah apabila loji WTE pertama negeri dan terbesar di Asia Tenggara, Jeram 1, mula beroperasi secara rasmi pada 12 Mei lalu.
Loji berkenaan berkeupayaan mengurus sehingga 1,500 tan sisa pepejal sehari selain menjana tenaga elektrik, sekali gus menjadi antara langkah Kerajaan Negeri mengurangkan kebergantungan terhadap kaedah pelupusan sisa konvensional.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini berkata pengoperasian Jeram 1 membuktikan komitmen Kerajaan Negeri memperkukuh pengurusan sisa secara mampan menerusi penggunaan teknologi moden.






