1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang menerusi tiga kapal laut

30 Sep 2026 • 8:58 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang menerusi tiga kapal laut

KUALA LUMPUR - Seramai 1,476 warga Myanmar telah dihantar pulang semalam dalam fasa pertama Program Penghantaran Pulang Tahanan Warga Myanmar.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataannya berkata, penghantaran pulang itu dilaksanakan melalui jalan laut menggunakan tiga kapal Tentera Laut Republik Kesatuan Myanmar termasuk sebuah kapal hospital.

Menurut KDN, ia dijalankan menerusi penyelarasan dan kerjasama erat antara KDN, Jabatan Imigresen serta kementerian dan agensi berkaitan.

Operasi berkenaan dilaksanakan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut.

“Program ini merupakan sebahagian daripada persetujuan antara kerajaan Malaysia dan Myanmar untuk melaksanakan penghantaran pulang secara berperingkat melibatkan 5,000 tahanan warga Myanmar,’’ katanya.

KDN berkata, pelaksanaan secara teratur, selamat dan bertanggungjawab ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu migrasi tidak teratur dan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), di samping memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan mengambil kira aspek kemanusiaan yang sewajarnya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memastikan usaha menangani isu pelarian Myanmar dilaksanakan dengan mengutamakan keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia.

Jelas beliau, komitmen itu menjadi asas dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu berkenaan secara tuntas termasuk menerusi kerjasama dengan Myanmar bagi penghantaran pulang pelarian secara sukarela dan berperingkat.

Anwar berkata kerajaan turut mengambil langkah lebih tersusun dalam menangani persoalan itu menerusi penguatkuasaan, penyelarasan antara agensi dan kerjasama dengan negara asal.

Pada 29 Julai, Anwar berkata Myanmar bersetuju menerima semula kira-kira 5,000 warganya yang ditahan di Malaysia susulan perbincangan antara kedua-dua negara.

Susulan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian telah mula mengenal pasti, mendokumentasikan dan menjalankan saringan terhadap tahanan berkenaan sebelum proses penghantaran pulang dilaksanakan.

Sehingga 15 Ogos, KDN memaklumkan seramai 10,388 warga Myanmar yang ditahan di depot tahanan Imigresen sedang menjalani pengesahan identiti, status imigresen dan latar belakang keselamatan. - 30 September, 2026

The post 1,476 tahanan warga Myanmar dihantar pulang menerusi tiga kapal laut appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved