
PUTRAJAYA – Seramai 3,524 pelarian Myanmar telah dipersetujui untuk dihantar pulang ke negara asal menerusi fasa kedua program penghantaran pulang secara sukarela, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, kerajaan ketika ini sedang menunggu makluman daripada pihak Myanmar berhubung tarikh penghantaran pulang kumpulan berkenaan yang akan diselaraskan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra.
Beliau berkata, program penghantaran pulang secara sukarela fasa pertama berjaya dilaksanakan semalam melibatkan 1,476 pelarian Myanmar.
“Individu yang terlibat (dalam fasa kedua) telah dikenal pasti oleh pihak berkuasa Myanmar dan nama-nama tersebut dikemukakan melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026 kepada Malaysia menerusi Wisma Putra,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan pihak Myanmar dalam masa terdekat bagi membolehkan lebih ramai pelarian Myanmar diterima pulang ke negara asal mereka.
Semalam, Malaysia melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama melibatkan 1,476 tahanan warga Myanmar dengan menggunakan tiga kapal termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Sebelum ini, Fahmi menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghantar pulang mana-mana pelarian Myanmar sekiranya terdapat risiko mereka dizalimi atau nyawa terancam meskipun negara itu bersetuju menerima 5,000 pelarian dari negara ini. – Bernama
The post 3,524 pelarian Myanmar dihantar pulang fasa kedua – Fahmi appeared first on Kosmo Online.




