1,500 askar dikerah padam kebakaran hutan di Borneo

WorldEnvironment
22 Aug 2026 • 10:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 1,500 askar dikerah padam kebakaran hutan di Borneo

JAKARTA: Indonesia mengerahkan tambahan 1,500 anggota tentera ke Borneo, kata seorang pegawai pada Sabtu, bagi membantu menangani kebakaran hutan yang telah memusnahkan kawasan luas di pulau itu dan menyebabkan jerebu tebal yang menyesakkan pernafasan di sesetengah kawasan.

Kebakaran antara Januari hingga Julai telah memusnahkan lebih 200,000 hektar tanah, kawasan kira-kira tiga kali ganda keluasan Jakarta, menurut kerajaan minggu ini, ketika keadaan kering akibat fenomena cuaca El Niño yang kuat mula melanda.

Presiden Prabowo Subianto yang berada di Borneo pada Sabtu untuk mempengerusikan mesyuarat mengenai tindak balas terhadap kebakaran hutan, mengarahkan penambahan anggota tentera, kata Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya.

“Tambahan tiga batalion Tentera Nasional Indonesia (TNI), atau kira-kira 1,500 anggota, akan dibawa masuk dari luar Kalimantan mulai hari ini,” kata Teddy dalam satu kenyataan.

Kalimantan ialah bahagian Borneo yang terletak di Indonesia, manakala pulau itu turut dikongsi dengan Brunei dan Malaysia.

Enam helikopter turut dijadualkan tiba pada Sabtu bagi memperkukuh operasi pengeboman air untuk memadamkan kebakaran, kata Teddy.

Kerajaan memantau keadaan dengan rapat dan mengerahkan sumber bagi membantu membendung penularan kebakaran, kata Prabowo kepada pemberita di Palangkaraya, ibu negeri Kalimantan Tengah.

“Kami sedang mengambil langkah mitigasi. Yang penting ialah menghentikan segera penularan titik-titik kebakaran,” kata presiden.

Jerebu akibat kebakaran mendorong kerajaan tempatan di Borneo, yang menempatkan hutan hujan yang masih terpelihara dan kawasan perladangan yang luas, menasihatkan penduduk supaya memakai pelitup muka dan mengurangkan aktiviti di luar rumah.

Kebakaran itu turut menyebabkan asap bergerak ke Borneo Malaysia, dengan enam kawasan di Sarawak merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat. – AFP

The post 1,500 askar dikerah padam kebakaran hutan di Borneo appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved