
Kota Kinabalu: Seramai 1,784,843 pengundi berdaftar di Sabah layak menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang dijadualkan berlangsung pada 29 November ini.
Daripada jumlah itu, 1,760,417 merupakan pengundi biasa, 11,697 terdiri daripada anggota tentera dan pasangan mereka manakala 12,729 lagi ialah anggota polis serta pasangan dari Pasukan Gerakan Am (PGA).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Dato’ Sri Ramlan Harun berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan ialah daftar dikemas kini sehingga Ogos 2025 dan disemak semula sehingga 5 Oktober 2025.
Daftar pemilih tersebut akan mula dijual pada 1 November.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala pengundian awal akan dijalankan pada 25 November.
Ramlan berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas yang diadakan pada Khamis susulan pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke-16 pada 6 Oktober lalu.
“Mesyuarat telah memutuskan bahawa PRN Sabah ke-17 akan diadakan bagi mengisi 73 kerusi DUN,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat khas di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini, Khamis.
Ramlan berkata tempoh kempen rasmi ditetapkan selama 14 hari bermula selepas penamaan calon pada 15 November dan berakhir pada 11.59 malam, 28 November.
Permohonan bagi undi pos kini dibuka untuk semua kategori mulai 13 Oktober, dengan tarikh tutup seperti berikut:Kategori 1A (petugas pilihan raya, pegawai SPR, polis, tentera, petugas media): 12 November (Rabu)Kategori 1B (rakyat Malaysia di luar negara): 21 Oktober (Selasa)Kategori 1C (agensi atau organisasi): 21 Oktober (Selasa)Semua permohonan hendaklah dikemukakan secara dalam talian melalui portal rasmi SPR di www.spr.gov.my.
Bagi memastikan pengurusan pilihan raya berjalan lancar, Ramlan berkata SPR telah melantik 25 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 196 Penolong Pegawai Pengurus.
Sebanyak 86 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan, melibatkan wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon.
Terdapat 25 pusat penamaan calon dan pusat rasmi penjumlahan undi (PPRU), dengan 33,002 petugas pilihan raya akan digerakkan di seluruh negeri.
Secara keseluruhan, akan ada 882 pusat mengundi biasa dengan 3,558 saluran mengundi, serta 58 pusat mengundi awal dengan 87 saluran, menjadikan jumlah keseluruhan 940 pusat mengundi dan 3,645 saluran mengundi.
“PRN Sabah ke-17 dianggarkan menelan kos sekitar RM116.8 juta,” katanya.
Menurut beliau, pengundi boleh menyemak maklumat mengundi masing-masing termasuk pusat mengundi, saluran dan nombor pengundi melalui portal SPR di https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak, atau menghubungi Hotline SPR (03-8892 7018) mulai 1 November. Talian ini akan beroperasi setiap hari dari 8 pagi hingga 8 malam.
Ramlan turut menggalakkan calon berpotensi untuk mengisi dan menyemak borang pencalonan lebih awal di pejabat Pegawai Pengurus masing-masing atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum hari penamaan serta menyelesaikan bayaran deposit lebih awal bagi mengelak kelewatan.
“Borang pencalonan yang lengkap dan telah disahkan mestilah dikemukakan oleh calon, pencadang atau penyokong di pusat penamaan calon pada hari penamaan,” jelasnya.
SPR juga menjemput agensi kerajaan, NGO dan pertubuhan berkaitan yang berminat untuk memerhati proses PRN bermula dari hari penamaan hingga keputusan diumumkan untuk memohon melalui portal SPR antara 9 hingga 27 Oktober.
Pemerhati yang diluluskan dibenarkan memantau aktiviti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, pusat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan SPR.
Seperti pilihan raya terdahulu, SPR turut akan menyediakan siaran langsung (live stream) bagi beberapa pusat mengundi dan proses pengiraan undi melalui laman Facebook rasmi SPR.
Bagi menggalakkan penyertaan pengundi, SPR akan melancarkan kempen “Jom Mengundi” melalui media elektronik, media sosial, hebahan awam serta pemasangan kain rentang strategik di kawasan tumpuan seluruh negeri.

