
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 1,780 bilik darjah tambahan di 459 sekolah seluruh negara disediakan bagi menampung pertambahan kemasukan murid tahun satu untuk sesi persekolahan 2027.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) itu membabitkan peruntukan berjumlah RM668 juta.
“Ia membabitkan keseluruhan 524 projek merangkumi 459 sekolah dengan penyediaan sebanyak 1,780 bilik darjah yang terdiri daripada 1,255 bilik darjah perdana dan 525 bilik darjah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
“Berdasarkan pecahan mengikut negeri, Selangor merekodkan jumlah projek tertinggi iaitu 143 dengan semuanya sudah menerima Surat Setuju Terima (SST).
“Ia diikuti Kedah sebanyak 93 projek dengan 92 projek menerima SST manakala Johor merekodkan 47 projek dan 45 daripadanya telah menerima SST,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Perdana Projek Siap Mendahului Jadual oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu kepada Kementerian Pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Jembal di sini semalam.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Ahmad berkata, bagi Terengganu pula, terdapat sebanyak 45 projek dan semuanya telah menerima SST yang menjadikannya antara negeri mencatatkan pelaksanaan projek tinggi bagi fasa berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan adalah antara usaha menyediakan kemudahan bilik darjah tambahan bagi menghadapi pertambahan enrolmen murid tahun satu, selain memastikan sekolah mempunyai ruang pembelajaran yang mencukupi menjelang sesi persekolahan 2027.
“Kaedah IBS yang digunakan dalam sebahagian projek berkenaan membolehkan komponen bangunan dihasilkan secara lebih tersusun dan dipasang di tapak.
“Keadaan ini sekali gus berpotensi mempercepat tempoh pembinaan berbanding kaedah konvensional,”katanya.-UTUSAN.
The post 1,780 bilik darjah tambahan tampung murid tahun satu appeared first on Utusan Malaysia.






