10,000 dijangka meriahkan Kenduri Rakyat Bella-Syed Saddiq

LocalEntertainment
30 Oct 2026 • 3:10 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

10,000 dijangka meriahkan Kenduri Rakyat Bella-Syed Saddiq

PASANGAN selebriti dan ahli politik Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal meraikan orang ramai menerusi majlis Kenduri Rakyat di Sabah yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka pada esok (Sabtu).

Majlis yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 4 petang pada 31 Oktober itu dijangka menarik kira-kira 10,000 pengunjung selain 500 tetamu jemputan.

Penganjuran itu bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai berkongsi kegembiraan pasangan berkenaan malah menjadi platform untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya, pakaian tradisional, persembahan artis tempatan dan tarian kebudayaan Sabah.

Bella yang dilahirkan di Sandakan, Sabah mempunyai hubungan istimewa dengan negeri ini, menjadikan majlis berkenaan lebih bermakna sebagai sebahagian daripada perjalanan perkahwinan pasangan yang mendapat perhatian ramai itu.

Syed Saddiq dan Bella ketika persandingan mereka di Kuala Lumpur.Pasangan yang dikenali sebagai Bass itu mengadakan majlis akad nikah di Merdeka 118, Kuala Lumpur pada 10 Oktober lalu sebelum mengadakan majlis resepsi di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada 18 Oktober.

Mereka kemudiannya meneruskan sambutan menerusi Kenduri Rakyat di Muar, Johor pada 25 Oktober sebelum membawa perayaan itu ke Sabah.

Syed Saddiq yang merupakan Ahli Parlimen Muar turut menjadikan majlis berkenaan sebagai peluang untuk berkongsi detik penting dalam kehidupannya bersama masyarakat yang diwakilinya.

Hubungan pasangan itu mendapat perhatian meluas susulan lamaran Syed Saddiq kepada Bella di puncak Gunung Kinabalu pada Januari lalu sebelum mereka mengumumkan pertunangan pada 28 Mac 2026.

Bagi majlis di Sabah, orang ramai digalakkan mengenakan pakaian tradisional mengikut etnik masing-masing sebagai tanda penghargaan terhadap kepelbagaian budaya negeri ini.

Program itu turut menampilkan artis tempatan dan penari muda kebudayaan bagi menggabungkan unsur hiburan dengan warisan budaya dalam sebuah acara yang terbuka kepada masyarakat.

Pengarah acara Ardie Arbain berkata penganjuran majlis itu membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk rakan strategik, penaja, pengacara, penggiat seni dan 100 petugas produksi.

Beliau berkata seramai 30 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan anggota polis turut membantu memastikan keselamatan serta kelancaran perjalanan majlis.

Ardie turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja dan rakan kerjasama yang menyokong penganjuran acara berkenaan, sambil mengalu-alukan penyertaan lebih banyak syarikat dan jenama yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada sambutan itu.

Dari segi pengurusan pengunjung, pendaftaran menggunakan kod QR dan pemberian cenderamata dirancang di pintu masuk awam manakala pengagihan makanan akan dilaksanakan secara berperingkat menerusi vendor yang mengambil bahagian.

Dua ruang bergambar turut disediakan sepanjang acara, dengan pengurusan jurugambar rasmi dan penggunaan kod QR bagi mendapatkan gambar.

Orang ramai yang hadir dinasihatkan mematuhi arahan petugas, menggunakan laluan masuk dan keluar yang ditetapkan, beratur dengan tertib serta memastikan laluan kecemasan tidak terhalang.

Pengunjung juga diminta mengawasi anak-anak masing-masing sepanjang berada di lokasi acara.

Majlis Kenduri Rakyat di Sabah itu diharap menjadi ruang untuk masyarakat berkongsi kegembiraan bersama pasangan berkenaan selain meraikan identiti budaya dan semangat kebersamaan rakyat negeri ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved