SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan tiga komitmen utama dalam Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani selepas lebih lapan sesi rundingan dengan kerajaan sejak 2023.
Beliau berkata, perjanjian itu bertujuan membawa reformasi institusi dan menjamin kestabilan negara, selain memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Menurutnya, komitmen pertama ialah memisahkan pelantikan Pendakwa Raya daripada kuasa Perdana Menteri bagi mengelakkan kes rasuah digugurkan untuk melindungi pihak tertentu atau institusi digunakan untuk mengenakan pihak lawan.
"Kawan atau lawan, semua mesti ikut undang-undang," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Syed Saddiq berkata, beliau sendiri terbabit dalam Jawatankuasa Khas yang merundingkan reformasi berkenaan selama setengah tahun dan akan menyokong pindaan itu apabila dibawa ke Parlimen demi masa depan Malaysia.
Beliau berkata, komitmen kedua ialah mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, tanpa mengira individu atau parti yang memegang jawatan itu.
"Siapa pun jadi PM, daripada parti mana sekalipun, had yang sama mesti terpakai," katanya.
Menurutnya, komitmen ketiga pula membabitkan pemberian peruntukan yang adil kepada kawasan Parlimen pembangkang.
Katanya, Muar dijangka menerima semula peruntukan kebajikan yang sudah lama dinantikan.
"Rakyat berhak dibantu, tidak kira warna politik pilihan mereka," katanya.
Pada masa sama, beliau meminta supaya peruntukan adil itu dijadikan undang-undang bagi memastikan kerajaan akan datang turut diwajibkan mematuhinya.
Beliau menegaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti 100 peratus akan terus menjadi keutamaan.
Dalam ruangan komen hantaran berkenaan, Syed Saddiq turut menjawab kritikan seorang pengguna media sosial yang mendakwa semua pihak yang menandatangani perjanjian itu akan "masuk jerat PMX".
Menjawab dakwaan itu, beliau berkata pernah menandatangani perjanjian sama ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri.
"Dulu saya tandatangan perjanjian yang sama bersama Perdana Menteri dari UMNO, YAB DS Ismail Sabri. Okay ja. Tak ada jerat menjerat.
"Perlu fokus kepada kepentingan negara. Nanti masa PRU, lawan dan biar rakyat tentukan," katanya.
Syed Saddiq turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz atas usaha menjayakan perjanjian itu.
Beliau berkata, kerjasama masih boleh dilaksanakan walaupun berbeza parti, asalkan rakyat mendapat manfaat dan kepentingan negara diutamakan.






