10,000 hadir ke karnival Jom Masuk IPT Fasa 2 2022

28 Jun 2022 • 2:49 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available

Pada 24 dan 25 Jun lalu, seramai 10,000 pengunjung telah hadir ke karnival Jom Masuk IPT (JMIPT) Zon Selatan 2022 yang berlangsung di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor.

Program tersebut dianjurkan untuk memberi informasi yang bermanfaat khususnya kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) serta individu yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurut Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Profesor Madya Ts Dr Raja Zuraidah Raja Mohd Rasi, sepanjang dua hari program berlangsung, UTHM telah menyediakan kira-kira 60 reruai pameran melibatkan penyertaan universiti awam, swasta, pelbagai agensi di seluruh negara dan disertai dengan sesi konsultasi serta perkongsian informasi.

Tambahnya, program yang bermula pada pukul 9 pagi hingga 5 petang juga diisi dengan pelbagai aktiviti menarik lain antaranya seminar kemasukan pelajar, Career Talk: Inspirasi Kerjaya bersama Amin Idris, Sembang Santai bersama Alumni UTHM, persembahan kesenian dan kebudayaan, gerai jualan dan keusahawanan pelajar, produk showcase pelajar TVET dan demonstrasi Barista.

“Pihak UTHM akan sentiasa menyokong penganjuran program sebegini untuk memberi manfaat kepada masyarakat khususnya penduduk setempat.

“Pihak kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas kepercayaan yang diberi bagi menjayakan penutup JMIPT bagi tahun ini,” katanya.

Turut diadakan, perkongsian informasi daripada agensi awam antaranya daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bahagian Pembangunan Kapasiti dan Latihan Pertanian (BPKLP).

Pada majlis sama, kira-kira 100 pelajar cemerlang lepasan SPM yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli negeri Johor juga dijemput bagi menyertai Seminar Hala Tuju Pelajar Lepasan SPM.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Profesor Datuk Dr Husaini Omar yang merasmikan Majlis Penutup JMIPT 2022 yang diadakan pada 24 Jun lalu.

Info

JMIPT Zon Selatan 2022 adalah program anjuran KPT fasa kedua selepas berakhirnya fasa satu yang melibatkan Zon Utara, Zon Tengah dan Zon Sarawak.

Fasa kedua melibatkan lima zon iaitu di Zon 5 Sabah (4 dan 5 Jun di Kota Kinabalu), Zon 6 Timur (11 dan 12 Jun di Universiti Malaysia Kelantan, Kelantan), Zon 7 Timur (17 dan 18 Jun di Universiti Sultan Zainal Abidin, Terengganu) dan Zon 8 Selatan (24 dan 25 Jun di UTHM Batu Pahat, Johor).

Artikel berkaitan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok