
PETALING JAYA – Agrobank kini menyediakan kemudahan pembiayaan khusus kepada pesawah dengan kadar pembiayaan berpatutan bagi menyokong kelangsungan aktiviti penanaman, melindungi sumber pendapatan dan meningkatkan daya tahan mereka.
Ini adalah antara komitmen bank tersebut untuk sebahagian daripada pesawah ketika berdepan cabaran untuk menyediakan keperluan modal pusingan pada awal musim penanaman serta kebergantungan kepada sumber pembiayaan tidak formal.
Menerusi kemudahan pembiayaan padi, pesawah boleh memperoleh pembiayaan
sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga enam bulan untuk setiap musim penanaman,
dengan kadar keuntungan antara satu peratus hingga 3.25 peratus semusim.
Kemudahan ini ditawarkan bagi tempoh sehingga lima tahun dan boleh diperbaharui,
tertakluk pada penilaian, kelulusan serta terma dan syarat yang ditetapkan.
Pembiayaan ini membantu pesawah memenuhi keperluan modal bagi pembelian input
pertanian dan operasi sepanjang musim penanaman.
Komitmen Agrobank dalam memperkukuh daya tahan pesawah diterjemahkan menerusi penyaluran pembiayaan padi berjumlah RM111.63 juta pada tahun 2025 manakala RM70 juta sehingga 20 Oktober 2026.
Kemudahan ini telah membantu hampir 10,000 pesawah di seluruh negara meneruskan aktiviti penanaman, sekali gus menyokong pengeluaran padi dan keterjaminan makanan negara.
Selain pembiayaan, Agrobank turut menawarkan Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), yang
menyediakan perlindungan sehingga RM3,000 sehektar bagi setiap musim penanaman untuk kerugian akibat bencana alam serta sehingga RM1,500 sehektar bagi kerugian akibat serangan makhluk perosak dan penyakit tanaman.
Setakat ini, manfaat perlindungan berjumlah RM51,956,633 telah disalurkan menerusi STTP
kepada pesawah di seluruh negara bagi membantu mengurangkan kesan kerugian tanaman.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah
Raja Hussin berkata, sokongan kepada pesawah perlu merangkumi keperluan modal dan
perlindungan terhadap risiko yang boleh menjejaskan hasil tanaman serta pendapatan
mereka.
“Pembiayaan yang bersesuaian dan perlindungan takaful dapat membantu pesawah
mengurus risiko, meneruskan aktiviti penanaman selepas mengalami kerugian serta
membina daya tahan kewangan yang lebih kukuh.
“Pendekatan menyeluruh ini mencerminkan komitmen Agrobank dalam menjaga
kebajikan pesawah dan memastikan mereka dapat terus menyumbang kepada
pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negara,” katanya dalam kenyataan.
Agrobank percaya bahawa daya tahan sektor padi bermula dengan pesawah yang
mempunyai akses kepada modal, perlindungan dan sokongan yang bersesuaian dan pihak bank akan terus memainkan peranan sebagai rakan pembangunan dalam memperkukuh kesejahteraan pesawah dan kelangsungan industri padi negara. -KOSMO! ONLINE
The post 10,000 pesawah dapat manfaat kemudahan pembiayaan padi Agrobank appeared first on Kosmo Online.






