240 hektar sawah mungkin jadi semak, pesawah mengalah

LocalEnvironment
13 Oct 2026 • 8:55 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 240 hektar sawah mungkin jadi semak, pesawah mengalah

ROMPIN – Berikutan tanaman padi diserang keladi, ulat batang, kutu beruang dan penyakit padi berdaun kuning, sebanyak 202 pesawah di Paya Sepayang, di sini tidak mahu meneruskan penanaman padi kerana mengalami kerugian besar.

Ini menyebabkan kawasan sawah padi seluas 240 hektar berisiko terbiar dan dipenuhi semak samun musim depan apabila pesawah tidak lagi mampu menyediakan modal untuk meneruskan penanaman semula.

Tindakan itu juga menyaksikan negara bakal mengalami kekurangan padi sebanyak 1,000 tan padi musim depan.

Negara yang kini mengimport 1.4 juta tan beras setahun kehila­ngan 2,000 tan padi setiap tahun daripada Paya Sepayang yang melakukan dua kali penanaman padi setahun.

Wakil pesawah, Ghani Mohd. Ros, 61, berkata, kehila­ngan modal dan kerugian dialami menyebabkan dia dan petani lain membuat keputusan untuk tidak menanam padi musim depan.

Katanya, serangan keladi, ulat batang, kutu beruang dan pe­nyakit ‘misteri’ pokok padi menjadi kuning dan tidak berbuah menyebabkan 65 peratus sawah padi tidak dapat dituai.

“Yang dapat dituai pun rugi kerana hasil sedikit, salah satu lot sawah saya yang baru tuai mendapat 1.4 tan dengan poto­ngan jualan 55 peratus dan cuma dapat RM1,200 sedangkan kos penanaman bagi satu lot seluas 1.2 hektar mencacah RM7,120.

“Bukan sahaja modal tidak dapat, tetapi kami rugi dan tidak mampu lagi menanam padi,” katanya selepas pertemuan dengan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Mohd. Fadzli Mohd Ramly di sini baru-baru ini.

Baru-baru ini Kosmo! me­laporkan, pesawah di daerah ini tertekan apabila modal lebih RM200,000 digunakan untuk menanam padi lebur selepas sawah diusahakan ditumbuhi pokok keladi agas dan paku rawan secara agresif sejak empat bulan lalu.

Fenomena itu pertama kali berlaku menyebabkan sebahagian besar pokok padi ditanam di kawasan seluas 240 hektar mati.

Selain serangan keladi, padi diserang ulat batang dan kutu beruang hingga hampir keseluruhan tanaman musnah.

The post 240 hektar sawah mungkin jadi semak, pesawah mengalah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved