
Dua artikel sebelum ini telah kami terbitkan mengenai 10 berita teknologi terbesar dunia dan 10 berita teknologi terbesar di Malaysia dalam separuh tahun pertama 2026. Kedua-duanya bernada serius sehingga menimbulkan kerisauan mengenai masa depan dunia. Maka hari ini kita mengubah sedikit tona rangkuman berita dengan memberikan tumpuan 10 berita teknologi paling aneh setakat ini.
1.Tandas Bergerak Boleh Diseru Dijual Di China

Semasa masih muda belia, pergi ke tandas untuk membuang air besar dan kecil adalah rutin mudah. Tetapi apabila usia semakin senja, berjalan ke tandas akan mula menjadi cabaran menyebabkan proses menyahtinja bukan lagi mudah. Sebuah robot tandas bergerak telah dilancarkan di China khusus untuk warga emas bulan Jun lalu.
Robot Xiaoban boleh diseru ke sisi katil warga tua apabila diperlukan. Ia mempunyai sistem pembersih air suam, pengering terbina dan sistem mengawal bau busuk. Xiaoban diseru menggunakan alat kawalan jauh atau menggunakan arahan suara.
Apabila sudah digunakan, najis akan disalurkan terus ke dalam mangkuk tandas dalam bilik air rumah. Bekalan air yang disimpan serta bateri akan dicaj semula secara automatik menggunakan dermaga khas. Bagi membolehkan ia bergerak ke lokasi pengguna, robot ini dilengkapi kamera dan LiDAR seperti robot vakum yang banyak di pasaran. Di China Xiaoban dijual pada harga RMB 28,999 (~RM 17,500) sebuah
2.M Nasir Saman Grab

Juga berlaku bulan lalu, MyTeksi Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Grab Malaysia telah disaman oleh M. Nasir kerana menggunakan nama beliau dalam promosi perkhidmatan syarikat tanpa kebenaran.
Datuk Mohd Nasir Mohamed yang dikenali sebagai M. Nasir dan syarikatnya, Luncai Emas Sdn Bhd telah memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan meminta RM3 juta sebagai ganti rugi teladan dan RM2 juta sebagai ganti rugi teruk (aggravated damages).
Pihak plaintif telah meminta MyTeksi Sdn Bhd untuk menurunkan bahan-bahan promosi yang menggunakan nama M. Nasir dan mendedahkan penyata keuntungan yang dijana daripada penggunaan ayat “Kegemaran M. Nasir” sebagai sebahagian daripada promosi penjualan minuman yang ditawarkan oleh platform tersebut.
3.Peluru Berpandu Pedang Samurai Dibangunkan Turki

Roketsan daripada Turki melancarkan peluru berpandu Neşter (pisau bedah) yang bersenjatakan pisau tajam seperti pedang samurai. Neşter dilancarkan ketika acara Pameran Pertahanan dan Aeroangkasa Antarabangsa SAHA 2026 di Istanbul dengan ia direka khusus untuk membunuh sasaran tanpa menggunakan letupan.
Senjata kinetik seperti Neşter dibangunkan bagi mengelakkan korban kolateral apabila ditembak ke arah musuh. Enam bilah pisau akan terkeluar daripada tubuh Neşter apabila menghampiri sasaran. Ia akan memotong dan sekaligus membunuh sasaran di lapangan ataupun di dalam kenderaan yang tidak berperisai. Sasaran dihapuskan menggunakan pisau tajam semata-mata tanpa sebarang letupan.
Maklumat spesifikasi penuh Neşter belum lagi didedahkan tetapi ia berasaskan peluru berpandu kompak MAM-L juga keluaran Roketsan. MAM-L adalah peluru berpandu khusus untuk dron seperti Bayraktar TB2 maka bolehlah diramalkan Neşter juga direka untuk dron yang sama.
4.Bungkusan Keropok Di Jepun Menjadi Monokrom Kerana Kekurangan Dakwat

Krisis Asia Barat menyebabkan harga minyak di Malaysia meningkat dengan kuota asal Budi95 sebanyak 300 liter sebulan telah dikurangkan ke 200 liter sebulan sejak 1 April. Di Jepun, kekurangan bekalan produk petroleum dari Asia Barat memaksa syarikat makanan Calbee menjual produk mereka dalam bungkusan hitam putih.
Kekurangan bekalan dakwat berwarna berasaskan naphtha menyebabkan 14 bungkusan seperti keropok ubi kentang dan granola kini menjadi monokrom. Lazimnya produk-produk makanan ringan ini menggunakan bungkusan berwarna warna bagi menarik perhatian pelanggan.
Jepun mengimport 95% bekalan minyak mentah dan 60% bekalan naphtha dari Asia Barat. Sejak Amerika dan Israel menyerang Iran pada penghujung Februari, harga naphtha melonjak daripada $550 setiap satu tan ke $873 setiap satu tan.
5.LLM Talkie – Eksperimen Sama Ada AI Boleh Ramal Masa Depan

Adakah model AI boleh meramal masa depan? Ramai yang mengatakan ya tetapi saintis dalam bidang sains komputer mengatakan model bahasa raya (LLM) hanya algoritma yang tidak boleh berfikir. Ia sekadar boleh melakukan regurgitasi teks sedia ada berdasarkan data latihan.
Menggunakan hipotesis ini, LLM Talkie telah dilatih dengan ia mempunyai 13 bilion parameter menggunakan data sebelum tahun 1931. Kenapa 1931? Kerana semua karya sebelum 1931 sudah memasuki domain awan maka tidak wujud isu etika melatih model AI menggunakan karya dengan hak cipta terpelihara.
Talkie dibangunkan dengan tujuan memahami bagaimana model meramal masa depan tanpa data moden. Ia juga akan digunakan untuk melihat bagaimana pengetahuan dan budaya pra‑internet membentuk tingkah laku model. Selain itu kajian turut dilakukan bagi melihat sejauh mana model boleh melakukan pemikiran di luar data latihannya.
6.Dron Digunakan Untuk Mengelakkan Serangan Beruang Di Jepun

Tahun lalu Jepun mencatatkan 235 insiden serangan beruang yang menyebabkan 13 kematian. Ia adalah jumlah serangan tertinggi sejak rekod disimpan sehingga memaksa campur tangan tentera Jepun untuk memburu beruang buat pertama kali dalam sejarah. Dengan musim bunga semakin hampir, bandar Ishinomaki di Wilayah Miyagi mengesahkan mereka akan menggunakan dron untuk menentang serangan beruang.
Dron yang dilengkapi semburan anti beruang telah dibangunkan oleh firma Terra Drone. Dron in dilengkapi kamera, sistem GPS dan satu tin semburan anti beruang yang diharap dapat menghalau haiwan apabila memasuki kawasan penempatan manusia. Ia boleh terbang selama 10 minit dan dikawal dari jarak 12 kilometer yang memastikan operator tidak terdedah kepada bahaya diserang selepas beruang disembur.
Jumlah serangan beruang meningkat di Jepun tahun lalu kerana kawasan kampung dan luar bandar mula ditinggalkan manusia. Beruang yang lapar kini memasuki kawasan bandar dengan populasi lebih tinggi bagi mencari makanan. Perubahan iklim juga menyebabkan beruang masih aktif walaupun sehingga bulan Disember.
7.Pempengaruh Di UAE Kini Wajib Memiliki Lesen Pengiklanan Untuk Mempromosikan Produk

Emeriah Arab Bersatu (UAE) sejak 1 Februari lalu mewajibkan pempengaruh media sosial memiliki lesen pengiklanan sebelum dibenarkan melakukan sebarang promosi di atas talian. Pengumuman mengenai keperluan lesen ini diumumkan tahun lalu.
Sekiranya mereka gagal mempunyai lesen, denda 1 juta AED (~RM 1,075 juta) akan dikenakan oleh pihak berkuasa. Keperluan lesen merangkumi pempengaruh yang melakukan promosi di media sosial, blog, laman web dan sebarang platform digital. Lesen adalah wajib bagi pempengaruh dengan status warganegara, penduduk dan pelawat yang menghasilkan kandungan iklan di dalam UAE. Lesen pula adalah sah selama setahun untuk warganegara dan 3 bulan untuk bukan warganegara.
Iklan yang dipaparkan perlu memenuhi 20 piawaian kandungan mandatori yang dikeluarkan oleh Majlis Media UAE. Nombor permit perlu dipaparkan dengan jelas pada profil media sosial. Lesen diperkenalkan bagi meningkatkan tahun profesionalisme dan ketelusan industri iklan digital. dan pada waktu yang sama melindungi orang awam daripada kandungan mengelirukan atau berbahaya.
8.Lelaki Jepun Dipenjara 20 Bulan Kerana Mendedahkan “Spoiler” Filem dan Anime

Di Jepun, seorang lelaki telah dipenjara 20 bulan dan didenda 1 juta Yen (~RM RM25,00) kerana menulis spoiler untuk filem Godzilla Minus 1 dan anime Overlord III tanpa kebenaran pemegang hakcipta. Lelaki yang tidak dinamakan ini bukan sahaja mendedahkan spoiler, tetapi juga plot penuh, kesemua jalan cerita, setiap babak dan apa yang dilakukan oleh watak dengan tujuan mengaut keuntungan pengiklanan menerusi laman web milik beliau. Tindakan beliau dilihat melanggar undang-undang hakcipta yang ketat di Jepun.
Kesalahan dilakukan antara Januari 2023 hingga Februari 2024 dengan beliau ditahan pihak polis pada 10 Oktober 2024. Beliau telah dihadapkan di Mahkamah Daerah Tokyo pada 16 April dengan hukuman dijatuhkan pada hari yang sama. Ini adalah kali pertama seorang individu dikenakan hukuman kerana mendedahkan sepenuhnya plot serta jalan cerita filem atau siri anime di Jepun.
9.China Menyekat Kandungan Anti Perkahwinan dan Anak

Kerajaan China melalui Pentadbiran Ruang Siber China (CAC) menyekat kandungan media sosial yang dianggap bermasalah ketika Tahun Baru Cina. Kandungan-kandungan yang disekat adalah yang menghasut permusuhan antara lelaki dan perempuan serta membesar-besarkan isu ketakutan untuk berkahwin serta mempunyai anak.
Kandungan sampah AI yang memaparkan konflik keluarga seperti pergaduhan ibu mertua dan menantu atau perselisihan adik-beradik semata-mata untuk menarik trafik turut disekat. Akhir sekali kandungan yang mempamerkan gaya hidup negatif seperti kekayaan secara melampau, video lucah, ganas, atau tidak logik akan menerima nasib yang sama.
Platform media sosial utama digesa menubuhkan pasukan khas dan meningkatkan pemeriksaan sepanjang cuti panjang Tahun Baru Cina. Laman yang gagal mengawal kandungan ini akan disiasat dan dihukum. Langkah ini diambil oleh CAC bagi menentang masalah populasi yang semakin tua tetapi kadar kelahiran yang semakin berkurangan.
10. India Sekat Telegram Selepas Soalan Peperiksaan Tertiris

Perkhidmatan Telegram telah disekat seketika oleh pihak berkuasa India selepas platform digunakan oleh sindiket terancang untuk membocorkan soalan peperiksaan Kelayakan Kebangsaan merangkap Ujian Kemasukan (NEET). NEET ialah peperiksaan wajib untuk kemasukan universiti untuk pelajar perubatan dan pergigian. Bulan lalu kerajaan membatalkan keputusan 2.3 juta pelajar selepas wujud dakwaan soalan peperiksaan bocor.
Peperiksaan telah diadakan semula pad 21 Jun ini dan sekatan ke atas Telegram adalah langkah mengelakkan penipuan berlaku sekali lagi. Selain aplikasi disekat, India meminta Telegram menghalang ciri menyunting mesej untuk pengguna tempatan sehingga 22 Jun. Google dan Apple pula diarahkan membuang aplikasi daripada Play Store dan App Store untuk sementara waktu.
Sekatan menerima bantahan Yayasan Kebebasan Internet (IFF) kerana didakwa tidak sah dari segi undang-undang serta memberikan kesan kepada pelajar yang bergantung pada Telegram untuk belajar dan mendapatkan bahan ulang kaji menjelang peperiksaan.

