
Sistem operasi Apple OS 27 diumumkan semalam dengan hampir 260 penambah baikan dilalukan pada iOS 27, iPadOS 27, macOS 27 Golden Gate, dan watchOS 27. Kerana iPhone ialah peranti Apple dengan jumlah pengguna tertinggi, saya senaraikan 10 ciri baharu paling menarik pada iOS 27 yang akan tiba September depan.
1.Liquid Glass Boleh Diperibadikan Lagi

Antaramuka baharu Liquid Glass diperkenalkan tahun lalu dengan penerimaannya bergantung kepada peranti yang digunakan. Pada iPhone dan iPad ia nampak menarik. Pada macOS, saya dalam kategori yang mengatakan ia membuatkan MacBook nampak seperti iPad sehingga menjadi kurang menarik. Elemen antaramuka sukar dilihat walaupun pilihan Frosted diberikan menerusi macOS 26.1.
Menerusi keluarga OS 27, tahap lutsinar boleh diubah mengikut keselesaan pengguna. Ia boleh menjadi lebih dan kurang lutsinar berbanding dua tetapan Liquid Glass sebelum ini. Ciri ini diberikan kepada semua sistem operasi Apple.
2. Siri AI – Pembantu Maya Semakin Bijak

Siri AI memberikan tumpuan kepada perbualan dilakukan secara lebih mendalam, integrasi sistem dengan lebih baik, dan kemampuan mencari kandungan merentas platform. Ia kini boleh melakukan perbualan berantai dan berterusan mengikut konteks yang tepat.
Ia boleh mengakses pengetahuan dunia masa nyata dan data peribadi pengguna merentasi pelbagai aplikasi. Sebagai contoh pengguna boleh meminta ia mencari gambar anda dengan kapal di San Francisco, mencari emel berkenaan tiket konsert, memadam semua emel spam dan memaparkan senarai barangan dapur diberi isteri menerusi Notes. Antaramuka Siri juga diberikan nafas baharu. Akhir sekali semua sejarah perbualan boleh diakses menerusi aplikasi Siri AI yang kini kendiri.
3. Dua iPhone Berkongsi Satu Nombor Telefon

Saya mempunyai dua iPhone di rumah. Satu sebagai sandaran apabila iPhone utama sedang dicaj. Kerap kali telefon dengan SIM sedang dicaj dan iPhone sekunder di tangan tidak boleh melakukan panggilan selular. Dengan iOS 27, kedua-dua iPhone yang dimiliki boleh berkongsi satu nombor telefon sekaligus menyelesaikan isu yang selama ini memerlukan dua SIM dengan nombor telefon berbeza digunakan. Bagaimana ia dilakukan masih lagi belum dijelaskan oleh Apple kerana ia masih memerlukan sokongan telko untuk diaktifkan.
4. AirPods Akhirnya Mempunyai EQ

Skrin tetapan AirPods akhirnya menawarkan ciri EQ yang sudah lama diminta pengguna. EQ membenarkan pemilik untuk mengubah tahap Low, Mid dan High pada AirPods buat pertama kali sejak 10 tahun fon telinga ini dijual kepada umum. Selama ini pemilik iPhone perlu menggunakan aplikasi pihak ketiga atau menggunakan EQ terhad di Apple Music untuk mengubah tetapan EQ lalai yang digunakan. Ciri boleh digunakan menerusi AirPods, AirPods Pro dan AirPods Max.
5. AirDrop 80% Lebih Pantas

AirDrop ialah sistem penghantaran fail yang sangat pantas dan mudah digunakan dalam ekosistem Apple. Pada iOS 27 nanti, kelajuan pemindahan data akan meningkat sehingga 80%. Sebagai insan yang kerap memindahkan fail video besar menggunakan AirDrop ini adalah ciri yang akan memendekkan masa bekerja kerana tidak dihabiskan menanti fail siap dihantar ke MacBook.
6. Sokongan Aplikasi Secara Landskap

Kali terakhir mod landskap disokong iOS ialah pada iPhone 8 Plus. Selepas itu mod landskap tidak lagi diberikan pada majoriti aplikasi peranti Apple tanpa sebab diberikan. Ada yang mengatakan ia kerana takuk skrin menyebabkan ikon tersorok di belakangnya. Pada iOS 27, beberapa aplikasi seperti Weather dan Apple Music menyokong mod landskap secara natif.
Mengapa ia diberikan kembali secara tiba-tiba? Ramalan di internet ialah ini sebagai persediaan untuk peranti skrin lipat iPhone Ultra yang akan dilancarkan tahun ini. Skrin akan terus memanjang dan berubah ke mod landskap bagi menggunakan keseluruhan skrin dalam yang lebih besar.
7. Widget Extra Besar

Satu lagi petanda Apple sedang menyediakan iOS untuk iPhone Ultra ialah pengenalan widget bersaiz extra besar. Kini terdapat 4 pilihan saiz Widget berbanding hanya 3 sahaja sebelum ini. Widget extra besar ini menggunakan kesel`uruhan skrin tanpa ruang untuk ikon lain di bawahnya. Seperti sokongan landskap, widget extra besar sudah disokong pada aplikasi Apple seperti Photos, Apple Music, Apple TV dan Weather. Widget. lebih besar ini amat berguna untuk aplikasi Calendar dan Apple Music kerana keseluruhan maklumat dapat dilihat dengan hanya sekali pandang.
8. Reframe, Extend dan Clean Up

Ciri suntingan gambar menggunakan AI generatif Apple pada iOS 26 dikritik kerana tidak memberikan hasil yang realistik. Wajah nampak herot dan kerap kali bahagian yang digantikan tidak berpadanan dengan elemen lain pada gambar. Dengan iOS 27 dan model AFM 3 baharu, ciri suntingan gambar menjadi lebih senonoh.
Reframe boleh mengubah sudut kamera daripada gambar untuk ke kiri, kanan, atas dan bawah. Seolah-olah ada kamera maya yang mengambil semula gambar selepas ia diambil. Sebarang gambar 2D akan diubah menjadi spatial untuk kamera diubah sebelum Reframe menjana semula satu gambar baharu. Extend pula membesarkan gambar daripada bingkai saiz bingkai asal. Akhir sekali Clean UP memadam elemen dalam gambar secara lebih konsisten.
9. Sync Immediately

Photos kini mempunyai ciri Sync Immediately yang melakukan sandaran gambar dan video ke iCloud secara automatik sejurus selepas ia dirakam. Secara lalai ia tidak diaktifkan bagi menjimatkan penggunaan data tetapi ciri ini sangat berguna bagi membolehkan sandaran dilakukan tanpa perlu membuka aplikasi Photos terlebih dahulu dan ia dilakukan di latar belakang.
Jika anda risau iPhone hilang ketika bercuti dan gambar memori indah tidak sempat disimpan, ini ciri yang akan mengelakkan situasi sadis ini berlaku. Sync Immediately hanya diaktifkan sehari bagi mengelakkan pengguna terlupa dengan ia perlu diperbaharui setiap hari
10. Safari Tukar Kata Laluan Tertiris Secara Automatik

Akhir sekali ialah ciri Apple Intelligence mengubah kata laluan secara automatik apabila Safari mengesah ia tertiris ke arena web. Tanpa perlu diarahkan kata laluan diubah dan kemudian disimpan dalam Passwords juga secara automatik. Ciri mengesan kata laluan tertiris sudah wujud sekian lama tetapi masih memerlukan pengguna mengubahnya sendiri secara manual. Dengan ciri baharu iOS 27 ini, tak perlu lagi risau lambat menukar kata laluan sehingga keselamatan akaun tergugat.
Apple mengesahkan kesemua peranti yang kini menggunakan iOS 26 akan menerima iOS 27. Sebanyak 30 model iPhone kesemuanya akan menerima ciri-ciri di atas. Senarai lengkap model iPhone ini adalah seperti di bawah.
- iPhone 11
- iPhone 11 Pro
- iPhone 11 Pro Max
- iPhone SE (2nd gen+)
- iPhone 12 mini
- iPhone 12
- iPhone 12 Pro
- iPhone 12 Pro Max
- iPhone 13 mini
- iPhone 13
- iPhone 13 Pro
- iPhone 13 Pro Max
- iPhone 14
- iPhone 14 Plus
- iPhone 14 Pro
- iPhone 14 Pro Max
- iPhone 15
- iPhone 15 Plus
- iPhone 15 Pro
- iPhone 15 Pro Max
- iPhone 16e
- iPhone 16
- iPhone 16 Plus
- iPhone 16 Pro
- iPhone 16 Pro Max
- iPhone 17e
- iPhone 17
- iPhone Air
- iPhone 17 Pro
- iPhone 17 Pro Max



