
10 Maut Dalam Insiden Tembakan Di Bondi Beach, Sydney – Laporan
MOSCOW, 14 Dis (Bernama-Agensi) — Sepuluh orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan di Bondi Beach, Sydney, Australia semasa satu majlis Hanukkah Yahudi, lapor news.com.au pada Ahad, memetik sumber.
Polis percaya serangan itu telah dirancang selama beberapa bulan, menurut laporan berkenaan.
Agensi Berita Xinhua pula melaporkan, memetik Badan Penyiaran Australia (ABC), bahawa sekurang-kurangnya 16 orang dibawa ke hospital, dengan lebih ramai dirawat di tempat kejadian.
Seorang penembak kedua antara mereka yang dibawa ke hospital, dan sekurang-kurangnya dua pegawai polis juga cedera, menurut Xinhua, yang menambah polis telah mengesahkan dua orang kini dalam tahanan.
Kejadian tembakan berlaku sekitar 6:40 petang waktu tempatan apabila sekurang-kurangnya dua lelaki bersenjata senjata api berkuasa tinggi melepaskan tembakan ke arah sekumpulan orang awam.
Amaran dikeluarkan polis sejurus sebelum pukul 7 malam menasihati orang ramai supaya menjauhkan diri daripada kawasan berkenaan dan sesiapa di lokasi supaya mencari tempat yang selamat.
Rakaman video dan gambar dari tempat kejadian menunjukkan orang ramai melarikan diri dari pantai serta senjata api terletak di atas tanah.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata dalam satu kenyataan bahawa kejadian di Bondi adalah “mengejutkan”, dan Premier NSW Chris Minns menggambarkan insiden itu sebagai amat menyedihkan.
BACA: Bantuan Mangsa Banjir Ke Indonesia Dari Luar Dikenakan Cukai
Sumber: BERNAMA
The post 10 Maut Dalam Insiden Tembakan Di Bondi Beach, Sydney – Laporan appeared first on Siakap Keli.



