
10 Negeri Diramal Alami Hujan Lebat Petang Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang melibatkan 10 negeri sehingga jam 4 petang.
Menerusi muat naik di laman Facebook, seluruh negeri Melaka dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
Di utara, kebanyakan kawasan negeri Perak diramal menerima hujan lebat. Ini melibatkan daerah Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim. Manakala di Selangor, hanya tiga daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat bakal alami cuaca buruk.
Melihat ke pantai timur, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan lebat bagi daerah Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan. Begitu juga dengan daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman di Terengganu. Di Pahang, hanya daerah Tanah Tinggi Cameron dijangka hujan lebat.
Di Negeri Sembilan, hampir keseluruhan negeri bakal terima hujan lebat. Daerah yang terlibat ialah Jelebu, Seremban, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin. Di Johor pula, amaran dikeluarkan bagi daerah Mersing dan Kota Tinggi.
Beralih ke Sarawak, MetMalaysia menyenaraikan beberapa daerah yang bakal dilanda hujan lebat, iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan), Sibu (Selangau), Mukah (Dalat dan Mukah), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu, Miri (Subis) dan Limbang.
Manakala keadaan di Sabah menunjukkan hampir seluruh negeri bakal terima hujan lebat dan angin kencang. Daerah yang tersenarai ialah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort, Nabawan, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod dan Kinabatangan).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir ATAU dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum MetMalaysia.
Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan agar berhati-hati ketika memandu dan elakkan mengunjungi kawasan berisiko.
The post 10 Negeri Diramal Alami Hujan Lebat Petang Ini appeared first on Siakap Keli.

