
KOTA BHARU, 23 OGOS: Polis mengesahkan 10 pendatang melarikan diri dari Depot Imigresen Tanah Merah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kesemua pendatang berkenaan berada di bawah tahanan Jabatan Imigresen Kelantan dan pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Kami akan adakan siasatan lanjut dan ia berlaku kira-kira 3 pagi tadi,” katanya pada sidang media pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Yusoff berkata hebahan telah dibuat bagi menggerakkan operasi tutup di kawasan sekitar depot berkenaan, bagi mengesan dan menahan semula kesemua pendatang yang melarikan diri.
Beliau berkata operasi berkenaan turut melibatkan usaha mencari mereka di kawasan sekitar depot berkenaan.






