10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

TechnologyDigital
10 Sep 2026 • 4:03 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan iPhone Duo dilancarkan awal pagi tadi. Akhirnya model “vanilla” baharu tidak lagi ditawarkan bersama dengan model Pro serta Apple akhirnya memasuki arena telefon boleh-lipat. Dengan harga ketiga-tiga model jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu, apakah yang menarik dan mengecewakan pada iPhone yang ditawarkan. Berikut ialah 10 perkara menarik dan mengecewakan pada siri iPhone 18 Pro dan iPhone Duo.

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

MENARIK

1.iPhone Duo – Telefon Skrin Lipat Pertama

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Apple menunggu selama 7 tahun selepas Galaxy Z Fold dan Royole Flexpai (masihkah anda ingat?) dilancarkan. Penanti selama 7 tahun ini berakhir dengan iPhone Duo dengan dwi skrin. Satu sebesar 5.4″ dan satu lagi sebesar 7.6″ menjadikannya peranti skrin lebar kelima selepas Oppo Find, Huawei Pura X, Samsung Galaxy Z Fold8 dan Xiaomi 18 Fold.

Walaupun lewat Apple tidak ketinggalan memperkenalkan ciri baharu seperti talam singkatan pada sisi kanan, dan animasi membuka/menutup skrin yang seakan lapisan kaca sebenar yang inovatif. Kerana menanti masa yang paling tepat, Apple tidak perlu menjalani era skrin luar kecil, mencari nisbah skrin paling tepat, peranti tebal dan skrin yang mempunyai kesan lipatan yang ketara.

Penggunaan Nano Texture pada skrin dalam juga menarik kerana ia dipinjam daripada siri iPad Pro. Ia membuatkan lakaran dengan Apple Pencil terasa seperti permukaan kertas di iPhone Duo. Ya, Apple menyokong stylus pada kedua-dua skrin sedangkan Samsung pula menghentikan sokongan S Pen!

Secara automatik iPhone Duo menjadi antara telefon lipat paling dimahukan kerana gabungan rekaan. ergonomik, antaramuka yang inovatif dan menawarkan rekaan telefon baharu untuk peminat-peminat tegar Apple.

2.Apple A20 Pro Berkuasa Jimat Tenaga

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Ketiga-tiga iPhone 18 Pro, iPhone 18 Pro Max dan iPhone Duo yang dilancarkan hari ini dikuasakan oleh cip Apple A20 Pro dengan teknologi 2nm buat pertama kalinya dalam sejarah cip telefon pintar Apple. Ia mengekalkan konfigurasi 6 teras CPU dengan 2 teras kuasa tinggi dan 4 lagi teras prestasi untuk menjalankan aplikasi lazim.

Ini dipadankan pula dengan GPU 7 teras. Hasilnya ialah prestasi CPU meningkat 20% dan GPU pula sehingga 40% berbanding Apple A19 Pro tahun lalu. Selain itu A20 Pro juga dilengkapi dua Neural Engine 16 teras yang meningkatkan kemampuan pemprosesan kecerdasan buatan dalam peranti sehingga dua kali ganda berbanding cip generasi terdahulu.

3. Kamera iPhone 18 Pro – Apertur Boleh-Ubah

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Kamera sudut lebar pada iPhone 18 Pro dan 18 Pro Max dilengkapi apertur boleh ubah buat pertama kalinya juga dalam sejarah. Sistem ini pernah digunakan oleh Samsung dan Huawei tetapi kurang mendapat perhatian ramai. Inovasi Apple menerusi sistem ini ialah bukaan apertur untuk cahaya serta dedahan sensor dilakukan secara automatik.

Terdapat juga kawalan manual bagi mereka yang lebih memahami selok belok penggunaan kamera. Dengan siri iPhone 18 Pro, Apple sekali lagi ingin meletakkan telefon terbaik di tangan anda sepanjang masa.

4. Bateri Besar Pengecasan Pantas Sehingga 60W

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Pengecasan pantas dan bateri besar adalah dua ciri yang jarang dikaitkan dengan produk Apple. Tetapi pada ketiga-tiga peranti Apple mengatakan bateri boleh dicas ke 50% dalam masa 15 minit pada siri iPhone 18 Pro dan 50% dalam masa 20 minit pada iPhone Duo jika pengecas 60W digunakan. Ini adalah sistem pengecasan terpantas pernah digunakan pada iPhone setakat ini.

Dari sudut bateri pula, iPhone 18 Pro Max (eSIM) dilengkapi bateri sehingga 5567 mAh yang lebih besar berbanding 5088 mAh pada 17 Pro Max (eSIM). Peningkatan 10% apabila dipadankan dengan cip 2nm yang lebih jimat menggunakan tenaga menawarkan hayat penggunaan sehingga 6 jam lebih baik berbanding model tahun lalu.

5. iPhone Duo Menyokong Pelbagai Mod Penggunaan

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Apple tidak segan meminjam ciri menarik yang sudah lama disokong pada peranti lipat Android. Seated ialah Flex Mode pada iOS 27 yang membolehkan peranti dilipat dalam bentuk L dengan kawalan diletakkan pada skrin bawah. Dalam mod yang sama mengambil gambar atau menyertai sesi telesidang boleh dilakukan lengkap dengan ciri Center Stage.

Turut dipinjam daripada Android ialah memaparkan gambar viewfinder pada skrin luar semasa kamera iPhone Duo digunakan dalam posisi skrin terbuka. Sokongan Multi Window dua aplikasi dibuka serentak akhirnya tiba di iPhone secara rasmi selepas sekian lama hanya disokong iPadOS. Penggunaan iPhone Duo tidak akan terasa seperti ada kekurangan kerana ciri yang menjadikan peranti lipat menarik semuanya disokong.

6.Sokongan Perisian Paling Lama

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Kelebihan iPhone yang masih belum mampu ditandingi oleh Android ialah semua iPhone menerima kemas kini sistem operasi dan tampalan sekuriti serentak di seluruh dunia. Memang wujud Android menyokong sistem operasi dan tampalan sekuriti selama 7 tahun tetapi Apple memberikan sokongan tampalan sekuriti yang lebih lama. Bagi mereka yang mahu menerima ciri baharu tanpa menunggu lama, ekosistem Apple adalah pilihan paling selamat.


MENGECEWAKAN

7.Masih Ada Kesan Lipatan

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Dua tahun lalu semasa ura-ura iPhone lipat mula muncul, kerap didengari Apple enggan menjualnya kepada umum selagi kesan lipat pada skrin dapat dihapuskan. Video awal iPhone Duo di media sosial menunjukkan skrin telefon baharu ini masih mempunyai kesan lipat walaupun tidak begitu ketara. Ia mirip kesan lipatan pada Z Fold8 yang saya sudah gunakan selama sebulan.

Jika anda mengharapkan iPhone Duo menjadi telefon pertama tanpa kesan lipatan anda akan kecewa. Tetapi saya ingin mengingatkan kepada anda bahawa selagi skrin telefon lipat masih menggunakan bahan polimer, kesan lipat akan sentiasa ada.

Berita baik yang saya boleh berikan ialah selepas menggunakan siri Z Fold selama 7 tahun, saya tidak lagi dapat melihat kesan lipat. Mata akan memadam kesan lipat sama seperti anda padam takuk besar iPhone X dan lubang kamera iPhone 16 Pro. Ia tidak akan menjadi isu besar selepas anda menggunakannya.

8.Kurang Mesra Pengguna Kidal

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Semua peranti lipat adalah kurang mesra pengguna bertangan kidal kerana “pintu” skrin perlu dibuka ke sebelah kiri. Apabila dalam tangan kiri, proses membuka skrin menjadi kompleks kerana tangan akan bersilang. Tetapi pada iPhone Duo, pengguna kidal mungkin akan terasa lebih dilupakan kerana pautan pantas taskbar terapung diletakkan di sisi kanan sepanjang masa.

Jika anda menggunakan tangan kanan, palang ini mudah diakses dengan ibu jari kiri. Jika kidal? Selamat melakukan akrobatik jari. Saya belum melihat lagi sekiranya Apple memberikan ciri ketercapaian untuk pengguna kidal iPhone Duo setakat ini.

Pada Z Fold8, ini bukanlah isu kerana talam pintasan aplikasi diletakkan di bahagian bawah antaramuka OneUI 9 sepanjang masa. Dengan skrin luar yang “ketot”, penggunaan kidal dan kinan tidak akan mempunyai isu ergonomik yang sama.

9. iPhone Duo Hanya Dwi-Kamera – Kualiti Kamera IDC Masih Misteri

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Saya ada memberikan komen Galaxy Z Fold8 hanya dilengkapi dua kamera adalah sukar dimaafkan kerana harga jualannya melangkaui RM 7000 sebuah. Komen sama saya berikan selepas iPhone Air dilancarkan dengan satu kamera sahaja tahun lalu. Tahun ini adalah adil untuk turut kecewa iPhone Duo hanya dilengkapi dwi-kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar dan ultra lebar sahaja. Apakah justifikasi telefon harga bermula RM9499 hanya dilengkapi dwi-kamera?

Kamera juga tidak dilengkapi sistem apertur berubah seperti pada iPhone 18 Pro. Kualiti gambar kamera bawah skrin (IDC) lipat juga masih lagi misteri kerana Apple tidak menyatakan saiz sensor yang digunakan. Pengalaman peribadi saya selepas mengulas peranti dengan IDC semuanya mengecewakan kerana gambar diambil kurang tajam dan tidak setanding kamera biasa. Persoalan mengenai kualiti kamera IDC akan diketahui apabila peranti mula dijual kelak.

10.Harga Semakin Meningkat

Image from: 10 Perkara Menarik & Mengecewakan iPhone 18 Pro dan iPhone Duo

Terima kasih kepada krisis RAM, Apple turut tidak lagi boleh mengelak tidak meningkatkan harga iPhone. iPhone 18 Pro tahun ini bermula daripada RM5499 untuk storan 256GB yang sama seperti iPhone 17 Pro Max dengan storan sama. Tetapi apabila mencapai storan 1TB, harga telah meningkat ke RM 8,499
berbanding RM 7499 tahun lalu.

Pada model 18 Pro Max pula, storan 1TB kini dijual pada harga RM 8,999 berbanding RM 7999 pada iPhone 17 Pro Max. iPhone Duo pula dijual pada harga mencecah RM 15,999 sebuah yang sangat tidak dijangka berlaku pada sebuah telefon pintar. Ini ialah norma baharu dunia kekurangan RAM kerana permintaan pusat data AI yang hanya dijangka reda paling awal 2028.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved