KOTA BHARU – Sebanyak 10 rumah jenis separuh kekal musnah dalam kebakaran yang berlaku di Kampung Cina di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.34 tengah hari itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II Zuzuki Shafei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sebelum pasukan bomba digerakkan ke lokasi.
**media[3544067]**
Menurutnya, anggota dari BBP Kota Bharu dan BBP Kota Darul Naim bergegas ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
"Penilaian awal mendapati kebakaran melibatkan 10 unit rumah jenis separuh kekal dan tidak melibatkan mangsa," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, seramai 20 anggota bomba dengan bantuan lima jentera termasuk dua Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan dua lori tangki air digerakkan bagi mengawal kebakaran.
Ujarnya, operasi pemadaman dan kerja-kerja pengawalan masih dijalankan.
"Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.





