10 tahun pegawai khas jadi bekalan Adam Loh bergelar YB Bakar Arang

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 2:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 10 tahun pegawai khas jadi  bekalan Adam Loh bergelar YB Bakar Arang

PENGALAMAN lebih 10 tahun berkhidmat sebagai pegawai khas kepada wakil rakyat menjadi bekalan penting buat Adam Loh Wei Chai memahami selok-belok tugas sebagai pemimpin sebelum dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang pada usia 36 tahun.

Peluang bersama wakil rakyat terdahulu bukan sahaja memberinya pendedahan mengenai urusan pentadbiran dan pembangunan kawasan, malah mengajarnya menyelami denyut nadi rakyat, memahami keperluan pengundi serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dibangkitkan.

 

Image from: 10 tahun pegawai khas jadi  bekalan Adam Loh bergelar YB Bakar Arang

Bagi Adam Loh, pengalaman itu membuktikan usia muda bukan penghalang untuk beliau memikul amanah sebagai wakil rakyat yang baik, sebaliknya komitmen, kesungguhan dan keupayaan menyelesaikan masalah menjadi ukuran utama rakyat terhadap seseorang pemimpin.

Beliau berkata, kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 lalu adalah amanah besar untuk meneruskan khidmat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kawasan itu yang telah bertapak selama empat penggal di bawah Parlimen Sungai Petani.

“Saya dipilih berdasarkan rekod prestasi, tekad dan kesungguhan wakil rakyat terdahulu untuk membantu kira-kira 57,000 pengundi di kawasan ini, bukannya kerana faktor saya semata-mata sahaja.

“Pengalaman lebih 10 tahun sebagai pegawai khas kepada ADUN banyak mengajar saya mengenai tanggungjawab seorang wakil rakyat terutama dalam menjaga kebajikan penduduk, memahami masalah mereka dan pastikan setiap aduan diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir tiga tahun menjadi wakil rakyat, beliau terus memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk menerusi penyelesaian masalah setempat serta kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan.

Antara perkembangan yang diberi perhatian adalah mengatasi masalah banjir kilat di beberapa kawasan, mengurangkan kesesakan lalu lintas di bandar Sungai Petani, khususnya pada waktu puncak, selain menangani isu sosial membabitkan golongan muda.

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi perbincangan dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kuala Muda yang membolehkan masalah penduduk dibawa kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

“Apabila menerima aduan, kita akan mengenal pasti punca masalah dan berbincang dengan agensi yang mempunyai bidang kuasa untuk mencari jalan penyelesaian. Tidak semua perkara boleh diselesaikan oleh ADUN sendiri, sebab itu kerjasama antara agensi amat penting.

“Melalui pendekatan ini, beberapa masalah berkaitan kemudahan awam dan prasarana dapat diatasi secara berperingkat demi keselesaan penduduk,” katanya yang juga Timbalan Ketua Cabang PKR Sungai Petani.

Adam Loh berkata, kerjasama dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan turut membantu menjayakan beberapa projek pembangunan, termasuk memperbesar laluan terowong tertentu daripada satu lorong kepada dua lorong, menaik taraf beberapa kemudahan sukan serta membaiki jalan di kawasan masjid dan rumah ibadat lain.

Selain itu, beberapa kemudahan di sekolah dan pasar awam turut dinaik taraf, manakala sebuah pusat rekreasi baharu dirancang untuk dibangunkan di Taman Delima bagi menyediakan ruang riadah kepada penduduk setempat.

Image from: 10 tahun pegawai khas jadi  bekalan Adam Loh bergelar YB Bakar Arang

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan seterusnya adalah menyediakan lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk meningkatkan kemahiran, khususnya dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurutnya, perkem­bangan pesat bandar Sungai Petani memerlukan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi, mampu berfikir secara kritis serta menyelesaikan masalah kompleks bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan.

“Prasarana asas di Sungai Petani dan kawasan sekitarnya semakin berkembang. Jadi, kita perlu pastikan anak muda turut mendapat peluang meningkatkan kemahiran supaya mereka bukan sahaja mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan, malah dapat memanfaatkan peluang ekonomi yang tersedia.

“Dalam mendepani cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), penguasaan STEM penting untuk melahirkan modal insan yang berdaya saing dan bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan,” katanya.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, beliau turut memastikan Pusat Khidmat ADUN Bakar Arang di Jalan Mawar, Taman Pekan Baru, terus menjadi tempat penduduk mendapatkan bantuan, mengemukakan aduan dan menyampaikan pandangan.

Katanya, beliau menganggap tugas sebagai wakil rakyat sebagai kerjaya sepenuh masa dan sentiasa berusaha untuk ditemui penduduk, termasuk di luar waktu pejabat, bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

“Saya tidak mahu penduduk berasa sukar untuk berjumpa wakil rakyat sendiri. Selagi berkemampuan, saya akan cuba membantu dan memastikan setiap masalah yang dibangkitkan mendapat maklum balas serta tindakan sewajarnya.

“Saya juga tidak memilih bulu dalam menyalurkan bantuan dan sumbangan. Selagi mereka tinggal dalam kawasan yang saya wakili dan memenuhi keperluan bantuan berkenaan, kebajikan mereka akan diberi perhatian tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, prinsip mendahulukan rakyat akan terus menjadi pegangan dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat, selaras dengan misi memastikan hubungan antara kerajaan dengan rakyat sentiasa rapat dan tidak terpisah.-UTUSAN

The post 10 tahun pegawai khas jadi bekalan Adam Loh bergelar YB Bakar Arang appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved