Terkenang bersalin di stesen minyak ketika beli air

LocalFamily & Parenting
23 Oct 2026 • 2:10 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Terkenang bersalin di stesen minyak ketika beli air

PETALING JAYA – Niat seorang wanita singgah di sebuah stesen minyak untuk membeli minuman sebagai bekalan tenaga sebelum ke hospital bertukar menjadi detik tidak dapat dilupakan apabila dia akhirnya melahirkan anak di dalam kereta.

Lebih menarik, kejadian tujuh tahun lalu itu menyebabkan tempat kelahiran anak lelakinya secara rasmi tercatat sebagai ‘Shell Nilai Square’ pada dokumen kelahiran.

Kisah luar biasa berkenaan dikongsikan seorang wanita, Nor Najihah Mohd Nizza, 39, menerusi Threads sehingga mencuri perhatian ramai.

Menurut Najihah, kejadian berlaku pada 27 Mei 2019 ketika dia sedang hamil anak ketiganya dan mula mengalami sakit bersalin sejak kira-kira pukul 8 malam.

Katanya, dia pada awalnya sudah pergi ke hospital pada sebelah pagi, namun diminta pulang kerana katil penuh.

“Masa itu bulan puasa. Saya masakkan lauk untuk bekas suami bersahur. Tengah masak memang sudah mula sakit, tetapi saya cuba bertahan tunggu dia habis kerja pukul 12 malam.

“Sakit itu bermula sekitar pukul 8 malam. Akhirnya sekitar pukul 11 malam saya sudah tak tahan dan ajak pergi hospital,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Dalam perjalanan, Nor Najihah meminta bekas suaminya singgah di sebuah stesen minyak untuk membeli minuman kerana makanan terakhir yang diambilnya adalah pada sebelah petang dan menyangka masih sempat untuk sampai ke hospital.

Bagaimanapun, ketika duduk di bahagian penumpang hadapan dengan kerusi direbahkan, dia tiba-tiba merasakan sesuatu mula keluar ketika cuba bangun untuk membetulkan kedudukan.

“Saya rasa kepala bayi. Saya cuba tekan hon untuk panggil bekas suami tetapi tidak sempat. Saya teran dan sambut sendiri. Bekas suami masuk sahaja dalam kereta, tengok-tengok bayi sudah ada,” katanya.

Selepas melahirkan bayi lelaki itu, mereka kemudian bergegas ke hospital bagi mendapatkan rawatan termasuk memotong tali pusat dan mengeluarkan uri.

Bercerita lanjut, Nor Najihah berkata anak lelakinya, Ahmad Naqeeb, 7, pernah bertanya mengapa tempat kelahirannya tercatat di sebuah stesen minyak dan bukannya hospital.

“Tanya juga, tetapi saya cakap mama tak sempat nak sampai hospital,” katanya berseloroh.

Sementara itu di ruangan komen, Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd. dan Shell Timur Sdn. Bhd., Shairan Huzani Husain atau lebih dikenali sebagai ‘Pakcik Shell’ sempat meninggalkan komen pada hantaran berkenaan.

“Alhamdulillah dah masuk sekolah adik ni. Semoga menjadi pelajar yang cemerlang dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu dan ayah. Nanti pakcik DM ibu ya,” tulisnya.

Terdahulu perkongsian Nor Najihah tular di media sosial sehingga mendapat lebih 13,200 tanda suka, 944 perkongsian dan 296 komen.
– KOSMO! ONLINE

The post Terkenang bersalin di stesen minyak ketika beli air appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved