
PAPAR: Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) akan membina 10 unit tangki sedutan tambahan jenis HDPE berkapasiti 10,000 gelen setiap satu di Kondominium Puncak Gloxinia, Kinarut, di sini bagi meningkatkan keupayaan simpanan air, sekaligus mengurangkan kesan gangguan bekalan yang sering dihadapi lebih 1,200 penghuni di kawasan itu.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pembinaan tangki tambahan itu adalah sebahagian daripada langkah segera kerajaan bagi memperkukuh sistem bekalan air sementara menunggu dua projek penyelesaian jangka panjang di daerah berkenaan siap dilaksanakan.
Menurutnya, dua projek utama yang sedang dilaksanakan adalah Projek Naik Taraf Muka Sauk Kampung Kabang dan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, yang masing-masing disasarkan beroperasi pada September dan November tahun ini.
“Selain dua projek utama itu, pembinaan 10 tangki sedutan tambahan di Puncak Gloxinia dirancang bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air yang sering menjejaskan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya semasa tinjauan di kondominium itu susulan Taklimat Penstabilan Bekalan Air Daerah Papar kepada Ketua Menteri pada 28 Julai lalu.
ArmizanMengulas lanjut, Armizan berkata, Kondominium Puncak Gloxinia yang mula didiami pada penghujung 2018 merangkumi enam blok dengan keseluruhan 1,296 unit kediaman dan merupakan antara kawasan paling terkesan apabila berlaku gangguan bekalan air di LRA Kogopon.
Katanya, kedudukan perumahan itu di penghujung saluran penerima air daripada tangki utama P3 menyebabkan bekalan air diterima paling lewat, manakala keadaan menjadi lebih mencabar kerana setiap blok mempunyai 18 tingkat.
Menurutnya, walaupun terdapat 24 tangki simpanan atas sedia ada, kapasiti berkenaan masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan penghuni ketika berlaku gangguan bekalan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, Jans bukan sahaja akan membina 10 unit tangki sedutan tambahan malah, memasang paip penghubung sepanjang 600 meter bagi meningkatkan kapasiti simpanan air.
“Pertambahan kapasiti ini membolehkan stok bekalan air disalurkan kepada penghuni untuk tempoh yang lebih lama sekiranya berlaku gangguan sementara, sekali gus mengurangkan kesulitan yang dihadapi sejak sekian lama,” katanya.




