Keputusan semakan kehakiman taksiran cukai Mukhriz Tun Mahathir, 16 November

LocalPolitics
4 Aug 2026 • 3:49 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keputusan semakan kehakiman taksiran cukai Mukhriz Tun Mahathir, 16 November

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 November ini untuk keputusan semakan kehakiman Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berhubung tuntutan bayaran cukai tambahan berjumlah lebih RM5 juta oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Datuk Azizan Md Arshad menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada pihak-pihak terlibat dalam permohonan tersebut.

Pada prosiding hari ini, Mukhriz diwakili peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid manakala LHDN diwakili Peguam Hasil, Marina Ibrahim.

Semakan kehakiman itu adalah berhubung tindakan LHDN mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan terhadap Mukhriz yang menuntutnya membayar cukai tambahan bagi tahun 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi tahun 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan tahun 2019 berjumlah RM16,826.37.

Terdahulu ketika berhujah, Muhammad Nizamuddin menyatakan, notis-notis tuntutan cukai tambahan itu tidak sah kerana ia dikeluarkan selepas lima tahun iaitu melebihi had masa yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mengandaikan bahawa notis-notis berkenaan dikeluarkan dalam tempoh masa yang dibenarkan, ia masih lagi tidak memenuhi keperluan kerana tidak menyatakan secara khusus alasan tuntutan tersebut sama ada melibatkan penipuan, keingkaran yang disengajakan atau kecuaian.

Tambahnya, pihaknya hanya mengetahui lanjutan tempoh itu diberikan atas alasan kecuaian selepas cabaran undang-undang difailkan di mahkamah.

“Dalam kes ini tiada alasan diberikan (dan) jika alasan itu dinyatakan, kami akan membawa perkara ini ke Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT),” kata peguam itu.

Sementara itu, Marina menghujahkan bahawa notis tersebut dikeluarkan selepas tempoh asal kerana lanjutan masa telah diberikan kepada bekas Menteri Besar Kedah itu untuk menyelesaikan urusannya berhubung permintaan maklumat oleh LHDN.

“Pada masa yang material, lanjutan masa diberikan untuk menyediakan dokumen-dokumen berkenaan dan adalah tidak adil untuk menggunakan alasan tersebut terhadap responden (LHDN),” katanya.

Selain itu, Marina menyatakan, memandakan kes itu masih lagi berjalan maka mahkamah mahkamah tidak boleh mendengar serta memutuskan perkara berkaitan cukai sebaliknya tempat yang sesuai untuk menyelesaikan pertikaian itu ialah Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Tambahnya, SCIT merupakan tribunal yang tepat untuk mendengar perkara tersebut kerana badan itu mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu berkaitan had masa.

Mukhriz, 61, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Disember tahun lalu dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri sebagai responden pertama.

Pada awal pemfailan semakan kehakiman itu, Mukhriz turut menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kerajaan Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga namun pada 24 Julai 2025, kedua-dua responden itu berjaa membatalkan nama mereka daripada tindakan undang-undang itu.

Dalam permohonan itu, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah untuk membatalkan keputusan responden pertama (Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) mengeluarkan notis taksiran tambahan berkenaan.

Mukhriz juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires (di luar bidang kuasa undang-undang). – UTUSAN

The post Keputusan semakan kehakiman taksiran cukai Mukhriz Tun Mahathir, 16 November appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved