
AKTIVITI konvoi bukan hanya medan bagi pemilik kenderaan berkongsi minat terhadap dunia automotif semata-mata. Malah, membuka ruang untuk mengeratkan hubungan persahabatan dan silaturahim dalam kalangan komuniti.
Bagi komuniti New Alza Brotherhoods (NAB), setiap perjalanan yang dilakukan secara berkumpulan menjadi peluang untuk menghimpunkan pemilik Perodua Alza dari pelbagai kawasan, di samping memupuk semangat kerjasama dan persaudaraan antara ahli.
Menurut Pentadbir (Admin) NAB, Shamsul Hazry Abdul Aziz, satu konvoi telah diadakan sempena program Alza Day Malaysia 2026 yang berlangsung di RTC Gopeng, Perak pada baru-baru ini.
Program itu membabitkan kira-kira 100 buah kenderaan Perodua Alza milik ahli NAB dari lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang.

Barisan ahli dari Kuala Lumpur dan Selangor berkumpul terlebih dahulu di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rawang sebelum bergerak secara konvoi menuju ke lokasi program.
“Manakala ahli dari luar kawasan seperti Melaka, Pahang dan Negeri Sembilan pula berkumpul mengikut ketua konvoi masing-masing sebelum bergerak ke lokasi program.
“Setibanya di Gopeng, semua peserta berkumpul dan menyertai pelbagai aktiviti yang telah ditetapkan sempena Alza Day Malaysia 2026,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Tambah Shamsul Hazry, penyertaan daripada ahli di pelbagai lokasi itu membuktikan komitmen komuniti berkenaan dalam menghimpunkan pemilik kenderaan Perodua Alza.
“Setiap kumpulan bergerak secara konvoi, sebelum berkumpul di lokasi program bagi melakukan aktiviti bersama-sama.
“Pengalaman sepanjang konvoi sangat menyeronokkan dan memberikan kenangan bermakna kepada semua ahli.
“Walaupun datang dari kawasan berbeza, namun kami dapat berkumpul sebagai satu komuniti dengan semangat kerjasama dan sikap saling membantu sepanjang perjalanan,” katanya.
Bagi komuniti NAB, aktiviti konvoi bukan hanya berkaitan kenderaan, sebaliknya menjadi wadah untuk membina hubungan yang lebih erat dalam kalangan ahli.
Shamsul Hazry berkata, perjalanan secara berkumpulan turut memberikan peluang kepada peserta untuk berkenalan dengan ahli baharu, bertukar pengalaman serta mengukuhkan semangat persaudaraan yang menjadi tunjang komuniti itu.
“Pada saya, konvoi bukan hanya mengenai kereta, tetapi lebih kepada ukhuwah, persahabatan dan semangat persaudaraan.
“Perjalanan bersama sehingga ke Gopeng memberikan peluang kepada ahli untuk berkenalan dan mengeratkan hubungan sesama sendiri,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan pada masa akan datang, dia berkata, NAB akan terus merancang dan menyertai pelbagai aktiviti konvoi bagi menghimpunkan lebih ramai pemilik Perodua Alza dari seluruh Malaysia.
Katanya, selain program automotif dan konvoi santai, komuniti itu terbuka untuk menganjurkan aktiviti kebajikan serta program yang dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
The post 100 Alza dari lima negeri berhimpun di Gopeng appeared first on Kosmo Online.
